
Sikap tidak menghormati wanita yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi perbahasan Rang Undang undang (RUU) Anti Gangguan Seksual hari ini sepatutnya menjadi keutamaan Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk mengambil tindakan tegas.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek, Tajuddin wajar dihukum secara tegas sebagaimana Rashid semalam telah menggantung Ahli Parlimen dari Warisan selama 2 hari kerana terus mendesak isu kedaulatan negara dibahaskan.
"Kebiadapan Ahli Parlimen Pasir Salak ini sepatutnya ditangani dengan tindakan yang lebih tegas oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan mengambil kira peraturan-peraturan mesyuarat yang tegas serta tidak membenarkan sebarang pernyataan rasis, diskriminasi, carutan dan penghinaan kepada mana-mana Ahli Parlimen
"Saya cukup kesal dengan tindakan Timbalan Yang Dipertuan Dewan hanya memberikan amaran sahaja kepada Pasir Salak sedangkan implikasi perbuatan biadap dan carutan beliau terhadap sebahagian Ahli Parlimen Wanita yang didengari oleh semua yang hadir dalam dewan dan secara siaran langsung adalah penghinaan terus kepada institusi Dewan Rakyat dan wanita secara keseluruhannya," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fadhlina lagi, RUU Anti Gangguan Seksual tidak seharusnya diganggu gugat oleh Ahli Parlimen yang tidak mengambil bahagian dalam perbahasan kerana RUU itu perlu dibahas secara adil, komprehensif dan merentas parti bagi benar-benar memaknai semangat dan esensi kepentingannya untuk melindungi kaum wanita dan komuniti secara keseluruhan.
Apatah lagi Dewan Rakyat, katanya, perlu menjadi yang terulung memperlihatkan wanita dilindungi daripada sebarang ketidakselesaan dan intimidasi.
"Saya menegaskan jika kita benar-benar serius mengangkat agenda ekosistem selamat untuk komuniti, ia harus bermula dengan ekosistem selamat di dalam Parlimen kerana gangguan seksual adalah kendala dalam ruang demokrasi khususnya di institusi Parlimen.
"Demokrasi yang sihat dan penuh penghormatan hanya akan tertegak dengan ruang dan forum yang menjunjung karamah insaniyyah atau kemuliaan insan dan pembelaan maruah dalam kerangka ekosistem yang selamat dan harmoni.
"Solidariti untuk semua Ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat," katanya lagi.
Sidang Dewan Rakyat tegang seketika hari ini apabila berlaku pertikaman lidah antara Tajuddin dan beberapa Ahli Parlimen DAP.
Tajuddin menuduh Ahli Parlimen wanita DAP sengaja memburuk burukkannya dengan menggelar beliau gemar mengeluarkan kenyataan berunsur seksis.
Bagaimanapun bagi meredakan keadaan Timbalan Speaker hanya mengarahkan Tajuddin keluar dewan dan tidak mengambil tindakan lebih tegas.