Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dituntut segera memberikan tarikh memulakan sidang Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong bertemu Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara, pagi tadi.
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, titah kali ketiga Agong sepatutnya tidak lagi boleh diremehkan dengan sebarang alasan lemah sebagaimana dikeluarkan menteri kerajaan PN sebelum ini.
"Pagi ini Yang di-Pertuan Agong mengarahkan mengadap Speaker Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan timbalan masing-masing.
"Saya mula dengan meminta rakan-rakan membaca secara teliti kenyataan Istana Negara. Saya mohon meneliti tiga rangkap pertama kenyataan Istana Negara. Pertama, mengulangi gesaan supaya Parlimen diadakan secepat mungkin.
"Bagi yang cerdik, yang tidak memutarbelit kenyataan, tahu secepat mungkin (yang disebut) berulang kali dalam sebulan ini. Janganlah menteri yang angkuh, biadap membawa teori Ogos, September (tarikh sidang Parlimen) atau sebagainya. Secepat mungkin bagi yang faham bahasa Melayu, ialah sesegera mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur.
"Kedua, supaya dapat dibahas proklamasi darurat dan Ordinan Darurat. Maknanya sidang sebelum 1 Ogos.
"Sidang itu mestilah dilakukan dalam notis yang singkat. Janganlah Speaker tunjuk dia tahu peraturan yang lain tak tahu. Dia baru sahaja di Parlimen. Peraturan membolehkan beliau menetapkan dalam keadaan dan kes tertentu, menyegerakan sidang dengan kelulusan PM, iaitu boleh berbahas sebelum tamat perisytiharan Darurat 1 Ogos," kata Anwar dalam siaran di Facebook, petang ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyeru agar rakyat juga melihat kenyataan Agong menyentuh Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang ke 14 untuk menyegerakan sessi bagi menentukan mekanisme semak dan imbang.
Menurut Anwar, tanpa semak dan imbang maka ada percubaan secara sewenang-wenangnya merompak sesuka hati, mengadakan tender tanpa penilaian dan sebagainya yang menjejaskan kewangan negara.
"Oleh yang demikian gesaan Agong harus diberi perhatian untuk menjamin pentadbiran yang telus.
"Bayangkan satu kerajaan tidak terasa malu dan diaibkan bila Agong terpanggil untuk memberi gesaan sedemikian. Saya yakin Agong menyuarakan pandangan majoriti Ahli Parlimen dan majoriti rakyat negara ini yang lebih faham derita mereka.
"Saya ingin junjung kasih bagi pihak Ahli Parlimen kepada Baginda Agong dan mendesak kerajaan lebih bertanggungajwab. Kalau mereka enggan dengan alasan tertentu, sewajarnya Perdana Menteri meletak jawatan sekarang," katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu turut mendedahkan satu kajian dibuat Bloomberg telah membuktikan kerajaan PN gagal dalam menguruskan negara.
Katanya, kajian Covid Resilience Ranking yang dilakukan ke atas 52 negara mendapati Malaysia duduk di tangga terendah pada tahun ini. Dari tangga ke 16 pada Januari 2020 kepada kedudukan 51 pada Jun 2021.
"Paling corot, memalukan, mengaibkan. Kalau kita jadi pimpinan sekarang patut berundur kerana dibuktikan (lemah)," katanya.
Anwar juga menyeru agar pimpinan negara membuka mata melihat kemelaratan hidup rakyat yang terpaksa meninta-minta untuk makanan berikutan panjangnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang menghalang mereka mencari rezeki.
Sedangkan, menurut beliau, pakej pemulih ekonomi negara tidak mampu meringankan penderitaan rakyat dalam kadar segera dan jumlah bantuan pula dianggap belum mencukupi
"Apa kesannya (Covid), rakyat susah. Merayu untuk mendapatkan makan keluarga.
"Naik bendera putih. Kalau jadi pemimpin, gaji elaun tinggi dan ada pula komisyen diambil, melihat rakyat begini tidak menyentuh hati nurani mereka apa makna politik dan kepimpinan, tatakelola kerajaan seperti itu. Sungguh aib, malang, tragedi bagi rakyat. Naiklah bendera putih kita nak lihat.
"Kita lihat apa yang disampaikan (pakej rangsangan) pelbagai nama, Prihatin, Pemerkasa 1-2, Penjana dan Pemulih. Berapa banyak? Tetapi yang disebut Pemulih ratus bilion itu moratorium. Moratorium pula kena ada perjanjian. Ada faedah. Lingkuplah syarikat.
"Dari Prihatin, Penjana dan Pemulih, yang ada sekarang ini Pelingkup sahaja. Pemerintah yang ada hanya menjadi pelingkup negara dan rakyat.
"Sebab itu kita terus menggesa perubahan berlaku," katanya lagi.
Comments