Tohmahan terbaharu kononnya KEADILAN menjadi anggota Liberal International yang ditaja Barat dan Yahudi pernah dinafikan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa tahun lalu.
Menurut Anwar, parti diasaskannya tidak menganggotai pertubuhan itu dan beliau yang memimpinnya juga bukanlah seorang liberal.
Beliau mengakui pernah hadir persidangan dianjurkan oleh gabungan berkenaan tetapi diundang untuk memberi pandangan sebagai pemimpin muslim moderat.
"Soal menjadi anggota Liberal International tidak benar. Tidak pernah jadi anggota.
"Kita sertai, ada persidangan di Kaherah (Mesir). Di mana saya diundang untuk beri ucap utama. Saya beri pandangan saya sebagai seorang muslim, pelanggaran (liberal) tidak boleh kita terima, apa yang kita boleh terima.
"Mengapa mendukung pandangan demokrasi dan kuasa rakyat? Di situ saya jumpa Aiman Nur, Ketua Pembangkang Mesir masa itu.Juga diundang menemui Mufti Mesir dan bertemu dengan Mursyidul Am Ikhwan (Muslimin).
"Gerakan Ikhwan tahu saya hadir gerakan Liberal International, masih mengundang saya dan tidak sedikit pun mempertikai hak saya untuk mendengar pandangan (golongan liberal)
"Sebab mereka tidak mempunyai pandangan jumud, kolot, beku, tak sanggup dengar, terus hukum," katanya dalam video memperjelas isu semasa yang dirakam pada ketika Anwar bergelar Ketua Pembangkang.
Selain itu, Anwar berkata, beliau juga pernah bertemu dengan Naib Presiden Amerika Syarikat, Hilary Clinton ketika itu dalam persidangan di Doha, Qatar.
Pada waktu sama, ujarnya, ulama terkenal dunia Islam Dr Yusof Qaradhawi mengundangnya makan tengah hari dan bertanya mengenai pertemuan bersama Clinton.
"Tengah hari itu saya makan tengah hari dengan Sheikh Yusof Qardhawi. Berbeza dengan yang jumud, Qardhawi terus tanya apa yang dibicarakan (bersama Clinton).
"(Saya kata) ada sentuh tentang Palestin. Bila saya terangkan, dia kata Alhamdulillah, sekurangnya ada orang yang dapat berhujah dengan mereka (Barat), diterima untuk berbincang di samping tidak undur prinsip yang kita perjuangkan," katanya.
Mengenai tohmahan yang dihadapi daripada gerakan Islam di Malaysia ketika itu, Anwar berkata dirinya tidak pernah menjadi liberal di atas isu isu pokok agama Islam.
Namun beliau tidak menolak untuk mendengar pandangan atau berhujah menghadapi golongan liberal lainnya.
"Liberal ini (dalam berbincang) kita sedia mendengar, sedia menolak, toleransi dengan pandangan tetapi bukan liberal sebagai seorang muslim. Liberal akidah ... saya tidak liberal, solat 5 kali sehari, puasa bulan Ramadan (tidak dikurangi).
"Tetapi pandangan dari seorang atheis, komunis, dia beri pandnagan, saya hujah. Saya tidak hukum kerana pandangan dia.
"Bagi saya kalau liberal itu meremehkan agama, menolak akidah dan akhlak, itu kita tolak," katanya.
Comments