Rundingan memberi peruntukan penuh parlimen kepada wakil rakyat pembangkang yang berlangsung pada 19 Mac lalu tidak melibatkan sebarang dokumen.
Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sesi rundingan berkenaan tidak menerima atau menyerahkan 'draf perjanjian' atau dokumen sebagaimana didakwa wakil rakyat pembangkang.
"Tidak timbul wujudnya draf perjanjian baharu Kerajaan Madani seperti didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.
"Ini kerana saya selaku Ketua Whip Kerajaan Perpaduan tidak ada menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa, dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Draf ini turut disebut Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu? Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak," katanya dalam satu kenyataan membidas 'pendedahan' wakil pembangkang sebelum ini.
Jelas Fadillah, pertemuan pada 19 Mac itu hanyalah sesi mendengar tawaran pembangkang dalam kerangka pemberian peruntukan parlimen tersebut dan tiada serang janji yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
"Dalam pertemuan di Parlimen pada 19 Mac saya hanya mendengar permohonan PN dan mendengar apa yang mereka tawarkan. Tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima.
"Justeru tidak wujud satu dokumen ‘draf perjanjian’ di antara Kerajaan Madani dan Pembangkang seperti dakwa.
"Saya tegaskan sekali lagi dalam pertemuan saya bersama wakil-wakil pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan Madani mahupun pihak pembangkang. Ianya sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran mereka. Malah tiada perbincangan mengenai ‘perjanjian’ pun," katanya lagi.
Peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sebelum ini dijadikan isu besar kononnya Kerajaan Madani bersikap zalim tidak mengeluarkan peruntukan yang setara dengan Ahli Parlimen pemerintah.
Sedangkan peruntukan parlimen pembangkang tidak termaktub dalam mana mana undang undang.
Praktik memberi peruntukan penuh tersebut hanya bermula pada era bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menandatangani perjanjian persefahaman dengan Pakatan Harapan sebagai tukaran blok pembangkang tidak akan menjatuhkan kerajaan sehingga habis penggal.
Comments