
Tatakelola atau urus tadbir baik merupakan ukuran utama dalam membangun Malaysia Madani dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu hari ini.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh mengetepikan hasrat untuk mendirikan sistem pentadbiran yang lebih mampan dan berdayasaing.
Untuk itu dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada Februari depan, katanya, kerajaan akan menyentuh beberapa perkara asas seperti mempercepat kelulusan projek dan menghentikan kaedah pemimpin mendapatkan komisen dalam urusan kerajaan.
"Kita akan menegakkan sistem hukum yang tak memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab dan tak juga menindas atau menekan mana-mana individu," katanya.
Menurut beliau, jika projek-projek besar ditender secara telus dan bertanggungjawab maka kerajaan boleh menyelamatkan berbilion ringgit wang negara
"Semalam Jemaah Menteri menelusuri Laporan Ketua Audit Negara 2021. Sekiranya dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara, saya yakin sekitar RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan.
"Ini cabaran kita yang tak mungkin dilaksanakan oleh Jemaah Menteri sahaja tapi dengan keseluruhan kekuatan yang ada," katanya lagi.
Dalam majlis yang disiarkan ke seluruh negara secara langsung itu, Anwar melakukan gimik pelancaran buku 'Membangun Negara Madani' yang diterbitkan Institut Darul Ehsan (IDE)
Buku itu antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Anwar selama empat dekad yang bermula dari zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.
Antara 6 segmen madani termasuklah Kemampanan (Sustainability); Prihatin (Caring); Hormat (Respectful); Inovatif (Innovative); Kemakmuran (Prosperous); Kepercayaan (Trust).
Majlis pagi tadi turut dihadiri oleh sebahagian menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.