top of page

Jika kadar penguncupan ekonomi tinggi, suntikan dana pun perlu lebih tinggi - Anwar


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan suntikan dana kerajaan sebanyak RM45 bilion dianggap terlalu kecil untuk menghidupkan semula ekonomi negara.


Beliau berkata, ini berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun kedua negara yang didapati menguncup kepada -17.1 peratus, jauh lebih tinggi berbanding mana-mana negara Asia Tenggara.


"Penguncupan ekonomi untuk suku tahun kedua mengejutkan kerana jauh berbeza dari unjuran yang dibuat Kementerian Kewangan. Pengangguran masih menjadi masalah besar dengan statistik terbaru sebanyak 4.9 peratus atau lebih 700,000 menganggur.


"Justeru, tumpuan suntikan fiskal dana kerajaan perlu dibuat untuk sektor yang memerlukan bantuan segera, ini bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi dan pemacuan ekonomi dapat dipercepatkan.


"Kita bukan nak salahkan kerajaan sahaja, tetapi kita harus realistik bahawa penguncupan ini adalah parah kesannya kepada ekonomi," katanya ketika menyampaikan perbahasan di Dewan Rakyat.


Perbahasan tersebut adalah bagi membahaskan Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID19)) 2020.


Anwar turut membuat perbandingan KDNK dan pakej ransangan ekonomi negara dengan negara-negara Asia Tenggara.


"Di Indonesia, penguncupan ekonominya sebanyak 5 peratus dan suntikan dana bernilai 3.5 peratus. Ekonomi Filipina menguncup 6.5 peratus tetapi suntikan dana hanya 3.1 peratus.


"Ekonomi Singapura menguncup 13.2 peratus tetapi pakej ekonomi sehingga 19.6 peratus tetapi sudah tentu tidak boleh dibandingkan kedudukan ekonomi agak berbeza.


"Di Thailand, penguncupan ekonomi negara itu sekitar 12 ke 13 peratus tetapi pakej ransangannya sebanyak 11.8 peratus, tetapi Malaysia yang menguncup 17.1 peratus hanya menyuntik dana tiga peratus.


"Kenyataannya, penguncupan ekonomi negara jauh lebih tinggi dari dihadapi negara Asean, jadi kalau begini pakej ransangan harus lebih tinggi.


"Malah, pakej dari segi suntikan dana fiskal negara adalah paling rendah, dengan penguncupan tinggi, tapi suntikan paling rendah.


"Sebab itu, saya menggesa menteri kewangan supaya serius dalam melipatgandakan inisiatif untuk memulihkan ekonomi negara," katanya.


Pembangkang tidak pernah membantah RUU COVID-19


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan pihak pembangkang tidak pernah menolak sama sekali pakej ransangan ekonomi COVID-19, sebaliknya hanya menggesa untuk membuat penambahan dana kepada peruntukan sedia ada.


"Yang kita tolak adalah peruntukan untuk pembaziran kementerian-kementerian yang kita anggap tidak perlu, sebabnya kerajaan perlu tumpu kepada pakej ransangan bagi menangani isu pengangguran dan meningkatkan penggunaan teknologi.


"Jadi tidak timbul sama sekali mengenai sebarang bantahan, sebab itu kita bangun bukan sekadar menyokong tetapi meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menambah dana dengan skala lebih besar," katanya.


Tambah peruntukan, defisit lebih besar?


Anwar juga memberi penjelasan sama ada penambahan peruntukan yang lebih besar akan memberi kesan kepada ekonomi negara.


"Walaupun kita mengusulkan penambahan dana sebanyak 45 peratus, dan melibatkan defisit lebih besar, ia tidak akan menyebabkan kemelut ekonomi dan kita perlu runsing tentang soal fiskal, dengan syarat pengurusan ekonomi itu baik.


"Saya ingatkan yang menjadi masalah sekarang ini adalah isu kesediaan kerajaan untuk melihat semula pakej bagi memastikan terdapat optimal return sama seperti apa yang dilakukan Jerman, United Kingdom, Australia dan Kanada.


"Kalau dibuat perbandingan, suntikan ekonomi negara-negara ini lebih sensitif dan prihatin dalam mengambil tindakan penyesuaian segera.


"Jerman misalnya menyediakan 500 bilion euro tetapi mereka memastikan kelulusan bank tidak ditentukan oleh bank semata-mata, malah ia mesti diluluskan dalam tempoh 4 hari, bantuan tidak dilengahkan.


"Jadi yang harus dibetulkan adalah pendirian menteri kewangan yang lebih mirip kepada pemikiran ahli-ahli bank dan bukan kepada peminjam dan ekonomi, yang hanya memikirkan soal collateral dan track record.


"Kita tak boleh ikut peraturan sedemikian. Kita harus melihat kepada pendekatan baru dan hanya tumpu kepada peranan bank yang bertentangan kepada kerajaan," katanya.


Pengurusan perlu terus, tata kelola perlu dijaga


Anwar merumuskan perbahasannya dengan menekankan soal ketelusan pengurusan dan tata kelola yang baik.


"Isu pengurusan dan tata kelola amat penting. Kalau dana terbatas digunakan boleh membesarkan kementerian dan menambah jawatan, ini tidak menjawab kepada tumpuan dan keutamaan kerajaan ketika ini.


"Saya membantah keras jika ada pengurusan lemah penyelewengan dalam penyaluran dana ini.


"Sebab itu, isu tata kelola perlu diutamakan dan pelaksanaan peraturan dibuat dengan sangat ketat selain ketelusan serta kesediaan sumber wang dibuat dengan teliti.


"Ini termasuk soal dari mana sumber kewangan, berapa jumlah dana, berapa kadar faedah, berapa tanggungan bagi negara.


"Perkara ini ditekankan supaya jangan ada sama sekali unsur untuk membebankan rakyat tetapi mengizinkan ketirisan dan pemborosan, ini berlaku dalam semua pentadbiran.


"Dalam keadaan rakyat menghadapi masalah jangan ibarat kita bina mahligai atas pusara. Orang derita kita hanya nak senang," katanya.


Anwar juga tidak mahu melihat wakil-wakil kerajaan menunjukkan sikap seolah-olah mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.


"Rakyat menganggur hampir 1 juta orang, tapi kamu orang besar hanya duduk mentekedarah wang lebih, ini kita bantah.


"Jangan sokong bawa rebah kerana wang, jangan disalahgunakan untuk perkara lain," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page