
Kerajaan digesa supaya menambah sekurang-kurangnya 20 peratus peruntukan dalam sektor kesihatan awam, yang dilihat menjalankan tugas dengan baik sehingga berjaya mengekang sejumlah besar penularan kluster wabak COVID-19 di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan bersama, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jurucakap Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye berpendapat langkah-langkah kesihatan awam terbukti berkesan termasuk kuarantin, pembatasan fizikal, penggunaan pelitup muka dan meningkatkan tahap kebersihan diri dan alam sekitar.
"Ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus merencana strategi atau jalan keluar dari wabak COVID-19, akan terdapat percubaan untuk mengurangkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan juga RMK-12 yang tertunda.
"Sementara kakitangan KKM telah mempamerkan aksi yang cemerlang di bawah Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengemudi negara tatkala wabak, kami yakin lebih banyak lagi yang mampu dibuat dengan campur tangan dan dukungan politik dan kerajaan.
"Peruntukan untuk kesihatan awam dan juga pegawai-pegawai yang relevan wajar ditambah dan ditingkatkan dalam usaha dan upaya kita memerangi kemelut yang berpanjangan.
"Hanya dengan meningkatkan tahap pelindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita akan mampu menangani cabaran dan tantangan kesihatan dan ekonomi negara," menurut kenyataan itu.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM 5.66 bilion kepada sektor kesihatan awam, setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan sebanyak RM 27.9 bilion dalam Belanjawan 2020.
Malah, sebanyak 78,266 kakitangan diperuntukkan untuk kesihatan awam dari jumlah keseluruhan 267,578 kakitangan KKM.
Kerajaan juga disarankan supaya meningkatkan kekerapan ujian saringan COVID-19 kepada golongan-golongan berisiko.
"Meski terdapat peningkatan dalam penggunaan teknologi digital, kita juga harus sedar bahawa pendekatan ini jauh terkebelakang dan seharusnya menguatkan pasukan yang diperuntukkan untuk pengesanan kontak di mana mereka mampu untuk memberi nasihat kepada masyarakat secara umum dan juga pada perusahaan dan perniagaan.
"Buat masa sekarang, kita mempunyai keupayaan tambahan dalam menguji dan KKM harus memanfaatkannya untuk ujian sentinel, terutamanya kelompok masyarakat yang berisiko tinggi seperti di pusat-pusat penjagaan warga emas, penjara dan industri kolar biru.
Ikhtiar kita dalam memperkukuh tahap kesihatan awam akan membolehkan kita untuk menghindarkan negara dan rakyat dari wabak-wabak, juga sebagai langkah awal bilamana kes-kes dikesan," kata kenyataan itu lagi.
Dua fakta penting dalam merancang tindak balas:
1. Wabak ini belum nampak akan tamat dalam masa terdekat. Kes-kes sporadik akan terus wujud dengan kemungkinan virus itu akan meledak dalam bentuk endemik.
2. Respon terhadap kesihatan awam mesti mantap, dan ini adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang kukuh. Kedua-duanya tidak boleh diasingkan.
Comments