Tahun baharu Hijrah, lembaran baharu pemerintahan negara
- Suara Keadilan
- Aug 10, 2021
- 1 min read

Tahun baharu Hijrah 1443 seharusnya membuka lembaran baharu dalam pemerintahan Malaysia yang gagal membendung wabak Covid 19 sebelum ini.
Dalam perutusan tahun baharunya, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di samping meyakini takdir Allah SWT yang termaktub di Luh Mahfuz, sunnatullah mewajibkan umat Islam untuk berikhtiar sehabis baik demi menyelamatkan setiap nyawa, dengan menggunakan seluruh kudrat yang ada.
"Justeru kita mengimbau sejarah tatkala Saidina Umar menjadikan peristiwa hijrah ke Madinah sebagai landasan tahun Qamariyah, beliau sedar bahawa kitaran tahun baru harus didasarkan pada pembukaan lembaran baru. Maka bukan sekadar hijrah ke tempat baru, tetapi juga menegakkan strategi dan kepimpinan baru.
"Walhasil, kita saksikan Nabi SAW dan para sahabat berhijrah meninggalkan pemerintahan usang pimpinan musyrikin Mekah yang zalim, serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada perintah Allah supaya berhijrah. Segala cubaan membeli kesetiaan Nabi SAW dengan sogokan kedudukan dan wang ringgit untuk menerima kepimpinan usang telah ternyata gagal sama sekali.
"Oleh itu, kesediaan kita meraikan kehadiran bulan Muharram yang mulia ini mestilah disertai dengan semangat hijrah, yakni niat untuk melakukan perubahan. Unggun yang menjadi punca terbakarnya teratak bangsa kita harus segera dipadamkan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyeru agar umat Islam dan bukan Islam di Malaysia bangkit daripada episod duka tahun 1442 Hijrah. Angka korban yang terus meningkat. Fasiliti kesihatan semakin tenat dan rakyat yang hilang mata pencarian.
Katanya, sebaik-baiknya dalam tahun baharu ini segala ikhtiar dilakukan bagi menyelamatkan nyawa rakyat yang mana menurut beliau, pada hemat pakar-pakar kesihatan dan majoriti rakyat, masih belum dilaksanakan.
"Hijrah ditunai dengan mengukir muafakat baru demi menyelamatkan negara dari kancah yang membinasakan. Rakyat Malaysia berhak mendapatkan pembelaan sewajarnya.
"Perubahan tidak boleh ditangguh lagi. Lembaran baru mesti dibuka.
"Selamat menyambut awal Muharram 1443H," katanya.
Comments