Pemilikan ekuiti asing 100% syarikat Starlink yang membekalkan perkhidmatan internet satelit orbit rendah di Malaysia tidak menjejaskan keselamatan ekonomi negara.
Hal itu ditegaskan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) dalam sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
"Untuk makluman sebarang pengecualian ekuiti perlu disertakan dengan spesifikasi yang jelas serta meyakinkan untuk dipertimbang Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Digital dan Menteri Komunikasi dan Digital.
"Penilaian dibuat melihat struktur organisasi pemohon dan penilaian perkhidmatan pemohon di skala global. Pendekatan ekuiti pegangan asing 100% bukanlah baharu dan telah dilaksanakan seawal tahun 2010. Pertimbangan yang sama telah dilakukan bagi syarikat lain yang beroperasi dengan 100% ekuiti asing, di mana syarikat terbabit turut beroperasi dengan skala global di beberapa negara. Iaitu entiti MSC Sdn Bhd, World Wide Network Services Malaysia Sdn Bhd dan BT System Malaysia Sdn Bhd.
"Bagi lesen diberikan kepada Starlink, faedah dan nilai yang dibawa masuk Starlink ke Malaysia terutama dalam menangani jurang liputan di kawasan yang belum diliputi adalah faktor yang dipertimbangkan di samping perkhidmatan yang disediakan Starlink di peringkat global serta penganugerahan status 'Malaysian Digital' kepada syarikat tersebut," katanya.
Menurut Fahmi lagi, sesi libat urus bagi syarikat berkenaan telah dilaksanakan dengan Kementerian Pertahanan, Agensi Keselamatan Siber Negara dan Agensi Angkasa Malaysia, KDN, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi memastikan perkhidmatan Starlink di Malaysia tidak menjejaskan keselamatan ekonomi negara malah menyokong konsep keterangkuman
Pengeluaran lesen kepada Starlink, kata Fahmi, bertujuan membenarkan syarikat tersebut menjalan aktiviti telekomunikasi di Malaysia dengan syarat lesen yang perlu dipatuhi serta pemantauan SKMM.
Manakala untuk pertanyaan sama ada Starlink menyumbang kepada dana Kumpulan Pemberi Perkhidmatan Sejagat, katanya, andai pendapatan Starlink Malaysia melebihi nilai ambang pada tahun yang ditetapkan maka syarikat tersebut perlu menyumbang.
"Starlink perlu mengemukakan penyata hasil bersih. Sekiranya jumlah hasil bersih tidak kurang ambang hasil maksimum RM2 juta, Starlink Malaysia perlu membuat sumbangan 6% daripada hasil bersih kepada kumpulan wang pemberi perkhidmatan sejagat," katanya lagi.
Comments