Sidang Parlimen perlu diadakan sebelum tamat Darurat pada 1 Ogos 2021.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan persidangan itu perlu untuk membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat sejak proklamasi diisytiharkan pada Januari lalu.
"Majlis Presiden mengulangi pendirian PH iaitu Parlimen perlu bersidang secepat mungkin sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
"Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang Ahli-ahli Parlimen.
"Pada masa sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini," kata kenyataan Majlis Presiden PH, hari ini.
Majlis itu juga berpandangan jawatankuasa mengkaji pembukaan Parlimen yang bakal ditubuhkan oleh kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh dijadikan alasan untuk melewat-lewatkan persidangan Parlimen.
Selain itu, kata mereka satu petisyen juga akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberi gambaran majoriti ahli-ahli Parlimen menyokong titah Baginda mahu mesyuarat diadakan secepat mungkin.
"Berkaitan cadangan Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa mengkaji sidang Parlimen hibrid, Majlis Presiden berpandangan penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi dalih untuk melewatkan sidang Parlimen.
"Oleh itu, PH bersedia menyertai jawatankuasa tersebut dengan syarat sidang Parlimen tetap diadakan secepat mungkin, sebelum 1 Ogos.
"PH juga akan mengusahakan satu petisyen di kalangan Ahli-ahli Parlimen yang akan dipersembah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bagi membuktikan bahawa majoriti Ahli-ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin," kata mereka lagi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Comments