Sidang Parlimen: 'Agong boleh bertindak tanpa nasihat Perdana Menteri' - Dr Aziz Bari


Polemik sama ada Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak tanpa nasihat Perdana Menteri (PM) dalam isu sidang Parlimen masih dibicarakan biar pun kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas Dewan Rakyat sesingkat 5 hari, bermula 26 Julai ini.


Bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, persidangan yang dirancang sesingkat itu sebenarnya menimbulkan lebih banyak kritikan daripada menyelesaikan masalah, sehingga ada cadangan agar Agong menitahkan sidang Dewan mengusulkan Undi Percaya bagi menguji keabsahan kerajaan.


Jelas Dr Aziz, dalam isu memanggil sidang Parlimen, sebenarnya Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak sendirian berdasarkan Perkara 55 Perlembagan Persekutuan.


"Biarpun dikatakan nasihat kerajaan itu perlu di bawah Perkara 40 yang perlu dipatuhi Agong, tetapi kalau kita baca peruntukan Perkara 55 Fasal 1, Perlembagaan: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan 6 bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat serta dalam penggal berikutnya".


"Apabila disebut... "dan tidak boleh membiarkan 6 bulan berlalu", ini sudah pastilah bukan sesuatu yang bersifat dilakukan 'dengan nasihat'. Kalau nasihat diperlukan bagi fungsi atau kuasa Agong di bawah Perkara 55 Fasal 1 ini, tidak mungkin (ditulis) 'tidak boleh membiarkan..."


"Kalau baca secara logik pun, maksudnya suatu perkara yang tidak semestinya 'dengan nasihat' (boleh dilakukan).


"Oleh itu Perkara 40 yang mewajibkan Agong mendengar nasihat itu suatu perkara yang boleh dikecualikan dalam keadaan yang disebut atau dibayangkan oleh Perkara 55 Fasal 1.


"Sebenarnya kalau dibaca Perkara 40 sekali pun, menyebutkan ada keadaan di mana Agong boleh bertindak sendiri atau berlawanan (daripada) nasihat.


"Dan Perkara 40 bukanlah sesuatu yang perlu diaplikasikan secara automatik atau mekanikal. Itu hal yang kita belajar (dalam krisis Perlembagaan kali ini)," kata Dr Aziz menerusi ulasan di Facebook bertajuk "Krisis Politik : Apa Jadi Selepas Ini?", malam tadi.


Mengenai sidang yang dirancang oleh kerajaan PN seolah-olah hanya untuk memenuhi formaliti dan menjawab titah Agong, Ketua Pembangkang DUN Perak itu berkata, hal tersebut tidak sewajarnya berlaku.


Katanya, mengikut Perlembagaan, PM dan kerajaan wajib menjawab kepada Parlimen. Maka sekiranya sidang selalu singkat tentulah fungsi sebenar Parlimen untuk bertanya dan menjawab soalan dinafikan, dan situasi tidak jauh bezanya dengan Parlimen tidak bersidang langsung.


"PM dan kerajaan perlu menjawab kepada Parlimen sebagaimana dituntut Perkara 43 Perlembagaan


"Kalau PM dimestikan bertanggungjawab kepada Parlimen, tentulah PM tidak boleh diberikan kuasa menutup Parlimen.


"Mengapa Perkara 43 (3) wujud, ialah bagi memastikan eksekutif itu sentiasa menjawab, bertanggungjawab kepada Parlimen. Dalam hal ini, betul disebut oleh Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) bahawa tempoh 5 hari tidak cukup untuk membenarkan Perkara 43 berjalan dengan berkesan," katanya lagi.


Dalam siaran Facebook itu juga, ADUN Tebing Tinggi berkenaan mengulas mengenai spekulasi andainya Umno menarik diri dari kerajaan PN maka Agong mungkin melantik PM interim sehingga diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Menurut Dr Aziz, kerajaan interim tidak wujud dalam Perlembagaan yang tidak memperincikan kuasa dimiliki PM.


Sehubungan itu, katanya, satu formula lain ialah dengan membentuk kerajaan campuran semua parti bagi suatu tempoh sebelum keadaan kondusif untuk diadakan PRU.


"Ada yang menyebut soal PM interim yang sebenarnya tidak perlu atau tidak ada. Interim merujuk kerajaan ditubuhkan selepas revolusi, selepas Perlembagaan dibatalkan. Sekarang hal itu tidak berlaku. Perlembagaan masih ada dan sistem masih ada, hanya kerajaan yang goncang. Jadi tak timbul soal interim.


"Apa yang dicadangkan ialah (bentuk) kerajaan perpaduan kerana masalah untuk mengadakan PRU dan tiada pihak punya majoriti. Jadi kerajaan itu sah.


"Kerajaan campuran ini boleh berfungsi secara pelbagai parti dan boleh mentadbir sehingga PRU diadakan, atau sehingga penggal tamat (2023)," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER