
Oleh: Helmi Mohd Foad
Kejayaan Kerajaan Perpaduan di bawah teraju kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mewujudkan kestabilan politik yang membolehkan keadaan ekonomi, tatakelola dan nasib rakyat diuruskan dengan baik sepanjang tempoh setahun pentadbirannya.
Pengarah Strategi AMANAH Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, kerangka dasar yang telah diletakkan kerajaan pada masa hadapan bersedia untuk melakukan lonjakan kedua.
Malah kata beliau, pihaknya percaya apabila Pilihan Raya Negeri Sarawak diadakan pada tahun 2025, Sabah (2027) dan Pilihan Raya Umum ke-16 pada Februari 2028, negara ini kekal berada dalam keadaan stabil.
"Dengan berbekalkan kestabilan politik...jelas apabila kita semak, ada pencapaian baik dan masih dalam perangkaan. Kita ambil ekonomi, tatakelola dan rakyat.
"Tiga itu kita boleh menarik nafas lega, tahun pertama bila semak satu persatu aspek, ia sebenarnya telah meletakkan satu kerangka dasar yang unjuran ke depan sudah siap utuk lakukan take off kedua," katanya dalam program Edisi Khas Ke Mana Hala Tuju Kerajaan Madani terbitan Media Perpaduan yang disiarkan di Facebook Lokman Noor Adam Official malam tadi.
Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid bertindak sebagai moderator.
Dr Zulkifly yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, dalam tempoh setahun setiap kementerian dilihat telah mencerakinkan usaha mereka dengan baik dan bersedia untuk menghadapi lengkungan kedua selepas ini.
Katanya kejayaan Kerajaan MADANI boleh dilihat dari segi ekonomi apabila kadar inflasi menurun ke tahap 1.2% iaitu terbaik dalam tempoh beberapa tahun ini selain pelaburan asing turut meningkat dan pelaburan dalam negara terus kekal baik.
"Setiap kali PM keluar negara atau Tengku Zafrul (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) keluar, mereka membawa masuk pelaburan," katanya.
Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri menunjukkan keberanian apabila meletakkan sasaran untuk mengurangkan desifit fiskal kepada tiga peratus dan dalam masa sama 'berbelanja besar' untuk memastikan berlaku pertumbuhan.
"Ia benar optimistik dan perangkaan bajet itu dilihat dari sudut penyasaran subsidi bermula dengan tenaga, bila kita lihat petrol sudah diambil tindakan dan kemudian kepada senarai seperti minyak masak, telur dan beras,.
"Bajet 2024 ini membuat reformasi struktural dengan kurangkan belanja subsidi dan pada waktu sama masih berbelanja, dari penjimatan itu diberikan kepada STR (Sumbangan Tunai Rahmah).
"Pertumbuhan itu sangat penting untuk atasi kesenjangan antara golongan miskin. Juga perlindungan sosial turut diberikan suntikan dengan lebih baik," katanya.
Mengenai tohmahan berterusan pihak pembangkang, Dr Zulkefly berkata, biarkan mereka melontarkan apa sahaja namun yang penting hasil kerja seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi sudah mulai menuai hasil pada tahun pertama program itu dilancarkan.
Tambah beliau, PM juga telah mengambil tempat di pentas antarabangsa apabila bukan sekadar mahu menjadi juara sebaliknya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang peka kepada masalah wilayah bergolak seperti Palestin.
"Ada orang kata dia (PM) patut fokus kepada dalam negara tetapi dia ambil peranan bercakap di hadapan Presiden Joe Biden, Blinken (Setiausaha Negara AS) dan bertemu dengan (pemimpin) Eropah untuk menyatakan kedudukan Malaysia dari sudut kemanusiaan atas kekejaman di Gaza.
"Kita bangunkan negara bangsa yang mempunyai kompas moral yang mulia dan jujur, dalam waktu sama lakukan program ekonomi dengan meletakkan Malaysia kembali ke trajektori pacuan ekonomi lebih baik," katanya.
Comments