Gerakan Reformasi pada awalnya tertumpu kepada perjuangan merobah politik ke arah mewujudkan urustadbir baik. Tuntutan ke arah itu membawa para penggiatnya yang digelar reformis turun berdemonstrasi di jalan raya.
Namun dua dekad telah berlalu dan beberapa negeri berjaya diperintah Pakatan Harapan, malah negara juga pernah diperintah selama 22 bulan, hari ini gerakan reformasi mula bergerak ke arah memantapkan pembelaan kebajikan kepada para reformis.
Bagi Mohamad Ali Abdullah, Setiausaha Koperasi Masyarakat Madani Malaysia Berhad (K3M), gerakan reformasi ketika ini perlu memperbaiki ekonomi reformis berbanding tuntutan perubahan politik semata-mata.
"Pada 1998 gerakan reformasi tersusun di peringkat atas, di peringkat bawah didukungi rakyat dalam kumpulan-kumpulan kecil.
"Perbezaan berlaku setelah Barisan Alternatif ambil alih kerajaan Terengganu pada 1999 kemudian selepas kemenangan di Selangor dan Pulau Pinang maka gerakan menjadi lebih tersusun.
"Kini reformis ada kelompok masing-masing yang mempunyai misi berbeza. Ada misi mengerakkan ekonomi, ada misi menggerakkan masyarakat dan misi hala tuju politik. Ini adalah satu kemajuan kepada gerakan," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia (GRM) baru-baru ini.
Sehubungan itu, menurut Mohamad Ali, reformis dalam NGO Rapat telah menubuhkan koperasi bagi menjaga kebajikan para reformis. Walaupun K3M baru ditubuhkan, katanya, namun aktivitinya mendapat sambutan apabila pada hari Raya Aidiladha lalu koperasi itu berjaya mengadakan korban sebanyak 30 ekor lembu.
"Dalam suasana PKP pihak koperasi berjaya melakukan aktiviti membantu masyarakat dengan mengadakan korban Rapat rakyat.
"189 peserta mengambil bahagian. Kita korbankan 30 ekor lembu dan 1000 orang mendapat daging. Ini satu kejayaan yang boleh dibanggakan," katanya.
Pada masa hadapan, menurut Mohamad Ali, koperasi K3M akan menceburi sektor pertanian. Koperasi, menurut beliau, berminat untuk mengusahakan tanaman nenas yang mempunyai permintaan tinggi dalam negara. Usaha tani tersebut juga boleh membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid 19.
"Sejuta hilang pekerjaan. Apa yang reformis boleh bantu?
"Kita boleh menggerakkan semula ekonomi dengan aktiviti pertanian. Misalnya di Malaysia aktiviti tanaman nenas berkembang tetapi tidak mencukupi untuk keperluan rakyat.
"Kalau kita tengok klon terbaru nenas, Selangor sweet misalnya amat mendapat sambutan. Dulu nenas masam sekarang cukup manis. Jika kita dapat gunakan tanah terbiar dengan tanaman nenas, saya fikir banyak yang boleh mendapat pekerjaan.
"Tanaman lain juga boleh diusahakan seperti sayur-sayuran. Banyak yang boleh menjadi pengurus ladang, pekerja, pemasaran dan mewujudkan peraih, pemborong atau sebagainya.
"Kita tidak mampu lagi membuka gerai goreng pisang kerana wujud 400,000 perniagaan penjaja di seluruh negara. Gerai jualan kuih terlampau banyak. Kalau penganggur ini masuk di dalam industri makanan maka akan mengecilkan lagi pendapatan kumpulan tersebut.
"Bidang pertanian sebaliknya boleh merubah suasana kemuraman ekonomi," katanya lagi.
Comentários