
Negeri Selangor mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang menggabungkan penganjuran Jualan Rahmah anjuran Kerajaan Persekutuan dan jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri.
Detik bersejarah itu dimuktamadkan pagi tadi dengan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoU) antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengalu alukan langkah penggabungan jualan yang menjimatkan kewangan rakyat itu dan akan melibatkan lebih banyak jenis barangan ditawarkan.
"Hari ini satu gabungan di antara Jualan Ehsan dan Jualan Rahmah dan menjadi Jualan Ehsan Rahmah

"Sebagaimana maklum, kita dah mulakan sejak 1 September 2022 dan mungkin berlanjutan sehingga September tahun ini, iaitu satu tahun dari tarikh pelaksanaan.
"Hingga kini kutipan kita RM37 juta dan ini bermakna kita telah menjimatkan RM18 juta wang rakyat.
"Sepatutnya nilai jualan itu RM55 juta kalau ambil harga biasa. Tetapi harga dimurahkan dan kita dapat RM18 juta penjimatan kalangan rakyat. Jumlah kehadiran saya percaya hampir setiap isi rumah kelompok B40 telah mendapat manfaat ini. Dan tidak ada satu DUN pun termasuk DUN pembangkang yang kita tidak hadir.
"Kali ini dengan Jualan Ehsan Rahmah dan saya percaya ia membanyakkan lagi item serta tawaran (harga)," katanya dalam sidang media selepas pertukaran MoU yang diadakan di tapak jualan di Taman Keramat, Ampang.
Sementara itu Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub amat menghargai kesudian kerajaan Selangor menggabungkan pelaksanaan kedua dua jualan berkenaan secara serentak di lokasi sama.
"Hari ini saya ucap terima kasih kepada rakan saya MB Selangor dan kita dapat mendengar satu lagi berita gembira, khususnya rakyat Selangor, JER adalah sinergi 2 program di peringkat KPDN dan Jualan Ehsan Selangor
"Sudah pasti rakyat yang mendapat keuntungan dan sudah pasti rakyat yang mendaat berita baik.
"Barangan asas keperluan boleh dibeli dengan penjimaan 30% dan ini sangat membantu isi rumah yang memerlukan," katanya lagi.