Keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini tidak menampakkan kesan yang positif malah memberikan kesan lebih buruk kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Ketua Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Wanita KEADILAN, Sivamalar Genapathy berkata berbanding PKP yang dijalankan pada Mac 2020 yang disertakan dengan Pakej Bantuan Prihatin yang bernilai RM250 billion, pakej bantuan yang diumumkan oleh kerajaan pada kali ini hanya berjumlah RM40 billion.
Katanya, tahun kedua menguruskan pandemik, kerajaan Perikatan Nasional sepertinya tidak mempunyai formula dan strategi utuh dalam menangangi krisis kesihatan, ekonomi, dan politik yang semakin meruncing.
“Saban hari permasalahan yang menekan kehidupan rakyat terbanyak, kerajaan kelihatannya masih mengkaji dan memperincikan pelan tindakan manakala korban pandemik sudah mencapai 4,803 jiwa,” katanya.
Malah, katanya, angka pengangguran pada kadar 4.9% lebih teruk berbanding krisis kewangan Asia 1997.
“Dengan peningkatan kadar pengangguran, ramai yang beralih arah dengan meniaga secara kecil-kecilan demi meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Oleh itu, Sivamalar menggesa Malaysia mengambil negara seperti China sebagai contoh, dengan mengenalpasti industri yang paling berkesan dan menyesuaikan tindak balas mengikut keperluan, lokasi, dan demografi.
“State owned enterprises, perusahaan kolektif dan swasta dikerah untuk menjalankan misi sosial dengan tidak tidak membuang pekerja, dan juga membantu perusahaan kecil.
“Sektor pelancongan, hiburan, perkhidmatan juga diberikan sokongan khusus dengan mengecualikan cukai VAT, serta subsidi kepada sektor penerbangan untuk mengadaptasi kepada keadaan semasa.
“Pelan Pelaburan juga telah dirancang untuk merancakkan ekonomi pasca pandemik. Singapura memperkenalkan geran khusus bagi startup seperti Special Situation Fund for Startups, Enterprise Financing Scheme dan sebagainya.
“Kegagalan kerajaan yang bertindak dengan tanpa objektif dan tidak bersasar disertai prosedur operasi yang caca marba, menyebabkan PKS sukar untuk meneruskan perniagaan mereka kerana ketiadaan pelanggan dan waktu perniagaan yang dipendekkan,” katanya.
Beliau juga berpandangan bahawa kompaun yang dikenakan kepada peniaga kecil tidak munasabah jika didapati beroperasi lebih masa bagi memenuhi permintaan pelanggan seperti yang berlaku di Rata Subang.
“Ini adalah tidak munasabah sama sekali. Selain itu, baru-baru ini seorang lelaki berumur 26 tahun terjun daripada tingkat 10 flat di Jalan Bagan Ajam dek kerana murung perniagaan yang diusahakannya gagal.
“Ini merupakan kitaran yang tidak dibendung oleh kerajaan dalam mengekang krisis yang meragut nyawa dan kestabilan hidup masyarakat terbanyak.
“Oleh itu kerajaan seharusnya menyokong penjaja-penjaja dan perusahaan kecil sederhana dengan memberikan bantuan bersasar dan mengurangkan karenah birokrasi dalam pelaksanaan pakej bantuan yang diumumkan,” katanya.
Justeru, Sivamalar berkata tidak seharusnya mereka dikenakan kompaun dengan kesalahan yang begitu kecil sedangkan kilang-kilang yang mencambah kluster tempat kerja sehingga hari ini tidak diarahkan pemberhentian atau pengurangan operasi sama sekali.
“98.5% perniagaan di Malaysia adalah PKS yang menyumbang sebanyak 38.9% kepada GDP negara, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan kelangsungan dan pembangunan mereka disaat ini,” katanya.
Comments