top of page

Risiko keciciran pelajaran semakin tinggi ketika PKP 2.0?



Kerajaan digesa supaya memperjelaskan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan tidak berlaku keciciran pelajaran dalam kalangan murid sekolah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ketika ini.


Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu membimbangkan kerana murid-murid tidak dapat ke sekolah memandangkan hampir semua negeri di Malaysia diletakkan di bawah PKP atau PKP Bersyarat (PKPB) kecuali Sarawak dan Perlis, yang berada di bawah PKP Pemulihan (PKPP) dan terbaharu darurat di seluruh negara.


Katanya, kerajaan berdepan pelbagai cabaran terutamanya pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.


"Bagi negeri-negeri yang sedang berada dalam PKP, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengarahkan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar dan para guru untuk kembali ke sekolah.


"Kita sekarang mempunyai 2 kumpulan pelajar peperiksaan yang perlu dijaga; kelas SPM tahun 2020 (mereka belum mengambil SPM) dan pelajar tahun 2021.


"Bebanan kerja guru akan bertambah dengan keadaan yang sedang kita hadapi pada hari ini. Mereka harus mengurus dan mengajar kelas peperiksaan dengan SOP yang ketat," katanya.


Selain itu, Nik Nazmi menganggap guru tetap perlu mengajar pelajar dalam talian bagi pelajar yang sedang berada di rumah.


"Apa langkah yang dilakukan oleh kerajaan atau Kementerian Pendidikan untuk melakukan persiapan, memberikan sumber, dan sokongan untuk guru dalam situasi ini bagi mengimbangkan kedua-dua keperluan, terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa dengan mata pelajaran yang guru perlu ajar di peringkat peperiksaan," katanya.


Nik Nazmi juga menyatakan kebimbangan dengan laporan bahawa terdapat pelajar sekolah menengah telah kehilangan minat dan fokus terhadap pelajaran dalam talian.


"Apa yang Kementerian Pendidikan lakukan untuk membantu pelajar dan guru untuk masalah ini? Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko keciciran yang tinggi ketika sekolah dibuka semula.


"Apa sistem sokongan yang disediakan untuk guru, pelajar dan ibu bapa untuk menghadapi PKP 2.0 dan darurat? Di manakah talian bantuan, pangkalan data untuk pelajaran dan penilaian? Di manakah platform untuk berkomunikasi dengan ibu bapa?" soalnya.


Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berpendapat langkah alternatif untuk kelangsungan pendidikan seharusnya dilakukan dalam beberapa minggu pertama pandemik pada tahun 2020.


"Adakah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya pusat tuisyen, tuisyen atas talian, tutor individu, dan NGO untuk memberi ruang pembelajaran maya bagi kanak-kanak B40 yang mungkin tidak dapat belajar di rumah secara maya?

Hanya Kementerian Pendidikan yang dapat menjawab soalan-soalan ini," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page