Ulang tahun gerakan Reformasi kali ke 23 pada 2 September 2021 memberi banyak makna kepada rakyat Malaysia.
Bagi 'ibu reformasi' Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, ulang tahun Reformasi kali ini haruslah disambut dengan penuh keinsafan selepas negara diserang wabak Covid 19, dan kehilangan ramai pejuang-pejuang awal gerakan Reformasi 1998 termasuk tokoh-tokoh pemikir antaranya Datuk Dr Sidiq Fadzil baru-baru ini.
"Tarikh 2 September memberikan saya banyak kenangan pahit apabila dikejutkan dengan apa yang berlaku (pada 1998). Yang mencetus gerakan Reformasi. Gerakan yang dikatakan islah. Islah bukannya seketika tetapi sepanjang hayat.
"Kita cakap ulang tahun dan memori apa yang kita lalui, tetapi apakah hikmah atau pengajaran di belakagnya? Bukan sahaja ini kepada pemimpin tetapi kepada rakyat biasa. Berlaku kepada diri saya sendiri, kerana saya tidak pernah masuk politik. Saya hanya pemerhati.
"Apabila ini (reformasi) berlaku menunjukkan kita semua berpotensi. Pada ketika kita diberi ujian oleh Allah maka pada masa itu kita berpegang kepada apa yang kita percaya dan kita mahu hidupkan dalam diri kita. Iaitu keadilan sejagat
"Saya kira reformasi mengajar bukan sahaja keluarga kami, tetapi ramai lagi yang terpanggil dan berjuang secara ikhlas. Mereka sendiri keluarkan dana dan kita sampai ke tahap apabila kita memenangi PRU pada 2018," katanya dalam forum maya bertajuk "Sempena 23 Tahun Reformasi" anjuran IDE, malam tadi.
Menurut Dr Wan Azizah lagi, Reformasi yang berjaya membawa perubahan pada Pilihan Raya Umum 2018 rupa-rupanya satu ujian kekuasaan kepada pada pemimpinnya yang kemudian memilih haluan berbeza dan mengkhianati perjuangan rakyat 22 bulan kemudian.
Bagi beliau, pendukung Reformasi tidak harus bersedih dengan proses pembersihan tersebut dan perlu terus berusaha membina persekitaran yang lebih baik selagi terdaya.
"Itu adalah ujian bila kita pegang jawatan. Lepas ujian itu, berlaku pembersihan kepada mereka yang tidak sehaluan lagi. Itu saya kira ada kebaikannya.
"September ini kita melihat suatu yang mengejut untuk negara kita (23 tahun lalu) tetapi ia sesuatu yang baik dan bawa perubahan yang kita inginkan.
"Kita sabar dan reda apa yang berlaku (sepanjang tempoh ujian). Yang mana kita boleh ubah, kita usahakan, itu mesti kita lakukan. Itu pemahaman saya tentang 'islah mastataktum'," katanya lagi.
Commenti