Presiden Pas Hj Hadi Awang tidak wajar mempertikai makna Islam dalam Perlembagaan Persekutuan kerana beliau dan partinya pernah memerintah Malaysia menggunakan Perlembagaan yang sama 3 tahun lalu.
Menurut Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, kenyataan yang dibuat Hj Hadi di Twitter baru baru ini mengelirukan umat Islam Malaysia kerana mendakwa 'makna Islam ditentukan oleh penjajah' ketika merangka Perlembagaan itu.
"Beliau berkata di dalam satu kenyataan berbunyi makna Islam di dalam Perlembagaan hendaklah ditafsirkan mengikut makna Islam yang sebenar dan bukannya ditafsirkan mengikut bahasa penjajah
"Sebagai seorang Ahli Parlimen yang sudah berpengalaman lama di Dewan Rakyat kenyataan tersebut tidak sepatutnya diucapkan oleh beliau.
"Ini kerana seolah olah Presiden Pas mempertikaikan kewibawaan Peguam Negara yang menjadi penasihat undang-undang rasmi Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Ahmad Nadhir, sikap pemimpin Pas itu tidak wajar kerana bakal mengundang banyak pentafsiran sendiri mengenai Perlembagaan.
Tidak sepatutnya, kata Ahmad Nadhir, Perlembagaan dipertikai sebagaimana Hj Hadi mempersoalkan Perlembagaan 'penjajah' dan sekular suatu ketika dahulu yang menyebabkan tercetusnya Amanah Hadi dan merebaknya perpecahan dalam kalangan umat Islam beberapa dekad.
"Kenyataan ini dilihat tidak lebih sebagai modal politik Pas untuk meraih sokongan politik sempena Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
"Ini untuk mencipta persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan sekarang menyalah tafsir maksud Islam di dalam Perlembagaan, sedangkan penafsiran yang sama telah digunakan sejak Perlembagaan digubal
"Rakyat harus terus diberi penerangan dan maklumat yang sahih supaya tidak termakan dengan propaganda murahan Pas ini yang berterusan menyerang kerajaan dengan fitnah dan tohmahan buruk," katanya lagi.
Comments