Pakatan Harapan (PH) biar pun dibelit beberapa masalah sejak kebelakangan ini namun dalam real politik, gabungan itu adalah yang terkuat di Malaysia.
Perikatan Nasional (PN) secara bandingan mempunyai lebih banyak masalah, seperti pembahagian kerusi dan calon Perdana Menteri (PM) dengan nafsu Umno/BN masih ketara untuk menjadi pemerintah seperti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, PH ketika ini hanya perlu merapatkan saf dan membina naratif baharu untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh mengambilaih pemerintahan selepas PRU 15 nanti.
"Saya percaya jika PH dapat mengekalkan sokongan Melayu atau tingkatkan sokongan itu, dalam masa sama mempertahankan sokongan bukan Melayu, Cina, India maka peluang untuk PH dalam PRU akan datang cerah.
"Satu contoh, umpamanya di Sabah baru-baru ini di kawasan (DUN) bandar yang KEADILAN dan DAP menang, kita lihat sokongan undi daripada masyarakat Cina terhadap calon KEADILAN dan DAP masih kuat.
"Cuma pimpinan PH sekarang kena mengolah naratif politik baru. Kalau dulu kita kata jatuhkan Najib, tolak GST dan sebagainya, naratif itu sesuai pada waktu itu. Sekarang perlu ada yang baru. Kepada orang tidak bekerja (dibuang) macam mana? Mahasiswa menganggur, 500,000 tak bekerja bagaimana? Malindo Air buang pekerja dan juga isu ekonomi.
"Kena bina naratif dalam keadaan masalah yang kita hadapi sekarang untuk memberi keyakinan kepada rakyat. Kalau rakyat nampak PH boleh memberi keyakinan maka mereka akan sokong," katanya.
Selain itu, menurut Hassan, PN sebaliknya hanya kelihatan kuat kerana pengaruh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kuasa mengawal peruntukan kerajaan pusat.
Namun katanya, apabila datang PRU dan persefahaman PN serta BN berakhir maka tidak boleh dinafikan BN akan bertanding di kerusi-kerusi Bersatu, yang mereka telah menang dan pasti mengemukakan calon PM mereka sendiri yang bukannya Muhyiddin.
"PM (Muhyiddin) ini untuk menghadapi PRU akan datang dia bukan mewakili satu gabungan politik yang kuat. Telah diberitahu oleh Umno kerjasama ini sampai Parlimen tamat tempoh.
"Kalau hadapi PRU, diperingkat PN, Muafakat Nasional dan BN ini, siapa yang boleh memimpin? Siapa akan jadi PM? Calon PM siapa?
"Tetapi dalam PH kita masih ada Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar) yang ada sekarang dan boleh kita ketengahkan," katanya lagi.
Meskipun pemerhati politik meramalkan PRU 15 akan diadakan pada Mac atau Jun 2021 namun masih banyak yang kurang yakin PM Muhyiddin akan membubarkan Parlimen dalam jangka masa tersebut.
Pergolakan dalam PN dan BN mengenai pembahagian kerusi dan calon PM mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan. Atau pun sekiranya menghadapi kebuntuan yang sukar dipecahkan, tidak mustahil formula di Sabah yang mana BN dan PN akan bertanding berasingan dilaksanakan.
Dalam situasi tersebut maka PH memiliki kelebihan bertanding di kawasan-kawasan yang bukan kubu dominasi Melayu.
Comments