PN lulus 7 Ogos, 18 Ogos pindaan nama?



Kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bahawa Perikatan Nasional (PN) telah didaftarkan pada 7 Ogos 2020 terus menjadi tanda tanya apabila terdapat bukti laporan media yang bercanggah antara satu sama lain berhubung tarikh kelulusan pendaftaran berkenaan.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa, laporan akhbar dari kenyataan beberapa pemimpin komponen PN seolah-olah menggambarkan gabungan itu masih tidak diluluskan pendaftarannya selepas 7 Ogos.


"Berdasarkan satu kenyataan media, Naib Presiden Bersatu Datuk Abdul Rashid Asari, bertarikh 10 Ogos menegaskan pendaftaran PN telah dihantar kepada ROS pada minggu lalu, bermaksud 3 Ogos.


"Kenyataan ROS bahawa PN diluluskan pada 7 Ogos, tetapi kenyataan Naib Presiden ini pada 10 Ogos (seolah-olah) mereka masih belum tahu PN telah diluluskan.


"Maksudnya pada tarikh 10 Ogos beliau (Rashid) belum lagi tahu pendaftaran PN diluluskan," katanya menerusi siaran di akaun You Tube.


Kecurigaan menjadi lebih buruk, dakwa Syed Badli, apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata pada 18 Ogos bahawa terdapat pindaan perlu dibuat pada singkatan nama PN.


Sedangkan, kata Syed Badli mengikut prosedur, pindaan pada nama dilakukan ketika proses pendafaran dan bukannya setelah mendapat kelulusan.


"(Dalam kenyataan di media) Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Redzuan berkata pendaftaran PN telah dihantar untuk permohonan. Bermaksud pada 18 Ogos mereka masih belum tahu PN diluluskan.


"Malah lebih pelik lagi jawapan Redzuan, beliau mengatakan terdapat pindaan pada pendaftaran PN. Pindaan terhadap nama Perikatan Nasional ataupun PN, telah digunakan oleh NGO lain.


"Kita (diberi) tahu pendaftaran diluluskan pada 7 Ogos tetapi pada 18 Ogos Pak Wan kata terdapat pindaan pada nama. Lulus 7 Ogos, 18 Ogos ada pindaan. Lulus atau tak lulus? Proses yang betul nama semua lengkap dan selepas nama dipersetujui ROS, barulah diluluskan," katanya.


Dakwa Syed Badli lagi, kontroversi pendaftaran itu semakin memeningkan apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam laporan media menganggap gabungan itu masih 'penaja' pada 19 Ogos, yang membawa maksud beliau tidak menerima apa-apa pengesahan pendaftaran PN pada 7 Ogos.


"Pada 19 Ogos, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengatakan Pas menyertai jawatankuasa penaja Perikatan Nasional.


"Jawatankuasa penaja boleh mana-mana pihak, selepas diluluskan barulah ahli masuk. Itu yang disebut. Maksudnya pada 19 Ogos masih berstatus penaja. Maka jelas berdasarkan kenyataan media pemimpin komponen PN, bahawa pada 19 Ogos PN belum didaftarkan (lulus)," katanya lagi.


Pendaftaran PN menjadi isu besar kerana terdapat lebih 30 calon dalam Pilihan Raya Negeri Sabah mendaftar sebagai calon PN dan menggunakan logo gabungan itu pada hari mengundi 26 September ini.


Mengikut undang-undang pilihan raya, parti yang tidak berdaftar calonnya tidak boleh menggunakan logo sendiri dan perlu bertanding sebagai calon Bebas.



PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio