Pembentukan kuasa politik 'Melayu Raya' sebagaimana diungkapkan oleh pemimpin Pas baru-baru ini sebaik sahaja Bersatu dijemput menganggotai Muafakat Nasional (MN) tidak semudah dibayangkan.
Bagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, di atas kertas memang Perikatan Nasional (PN) atau gabungan MN kelihatan kukuh dengan perkembangan terbaharu itu, namun sifir politik tidak semudah dua campur dua sama dengan empat.
Kata Johari, banyak faktor lain yang mungkin memburukkan keadaan seperti pembahagian kerusi di kawasan Melayu, logo bersama, manifesto dan lain-lain yang sukar dirundingkan.
"Hanya di atas kertas MN kuat, jumlah undi Umno campur Pas dan Bersatu boleh menang (kerusi Parlimen). Tetapi kena ingat waktu itu Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH), yang kalah BN. Belum tentu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang rakyat (ikut formula itu), saya ingat berbeza.
"MN pula banyak masalah sekarang, seperti manifesto, logo dan sebagainya. Tinggal dua tahun lagi (sebelum PRU), sempat atau tidak?
"Muhyiddin juga tidak membawa impian PN. Dia bawa impian Bersatu. Ada banyak faktor (kelemahan)," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Johari, Muhyiddin sendiri belum tentu akan diterima sebagai calon tunggal perdana menteri. Katanya, menjelang PRU terdapat kemungkinan PN atau MN tidak akan mencalonkan Muhyiddin sebagai PM secara muktamad. Mungkin mereka akan melihat parti mana yang memenangi kerusi terbanyak selepas PRU.
"Bila Bersatu masuk dalam MN, harus diingat blok yang terbesar masih BN bukan Pas atau Bersatu.
"Sudah tentu kalau Parlimen bubar Umno tak kan kata menang atau kalah jawatan PM milik Muhyiddin. Kalau Bersatu dapat 3 kerusi macam mana nak jadi PM?
"Agak susah bagi Muhyiddin nak maneuver, dia boleh bercakap, boleh berjanji. Mungkin MN kata ok tapi bubar sahaja Parlimen kedudukan habis, Muhyiddin seperti orang biasa (tiada kuasa tawar menawar)," katanya lagi.
Untuk rekod, MN sedikit bergolak apabila Pas tanpa memaklumkan kepada Umno ikut serta mendaftarkan PN sebagai perikatan politik. Sedangkan Umno menentang idea berkenaan dan mahu logo BN digunakan secara bersama bagi memastikan kemenangan maksimum calon-calon PN.
Bagaimanapun, Bersatu kurang bersetuju dengan idea tersebut kerana watikah calon akan ditandatangan oleh pengerusi BN dan memberi kelebihan kepada Umno untuk menuntut lebih banyak kerusi serta mengenepikan Bersatu.
Comments