Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) menyeru agar usaha mempromosikan barangan tempatan terus diperkasa swehingga menembusi pasaran antarabangsa demi meningkatkan ekonomi negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mempromosikan barangan tempatan itu juga turut dimainkan oleh beliau sendiri takkala mengadakan sebarang urusan rasmi di luar negara.
"Esok petang saya ke Tokyo bersama semua 10 pemimpin ASEAN yang diundang Perdana Menteri Jepun.
"Ada satu malam dia kata boleh pakai kot, tali leher dan pakaian rasmi, jadi saya bagi nota, saya nak pakai batik Malaysia.
"Jadi walaupun musim sejuk, saya pakai sebab apa? Saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barang buatan Malaysia dan saya akan rasa bangga untuk beritahu bahawa ini adalah batik Malaysia," katanya ketika berucap di pada Majlis Perasmian Karnival Barangan di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali serta timbalannya, Fuziah Salleh.
Jelas Anwar, selain mempromosikan barangan buatan tempatan, beliau turut mengingatkan orang ramai untuk bersama sama menjayakan pembelian barangan tempatan.
Katanya, beliau sering meluangkan masa untuk berkunjung ke warung atau gerai makanan sebelum menunaikan solat Jumaat sebagai usaha mempromosikan ekonomi tempatan.
"Kalau ada kesedaran kita akan dokong bantu, saya tak rasa kurang darjat kerana makan di gerai dan warung. Malah saya anggap makanan dihidang itu lebih enak daripada restoran 5 bintang.
"Kalau tak minum kopi di rumah pergilah lah ke warung, rasanya lebih enak dan harganya lebih murah," ujarnya.
Untuk rekod, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) mula dilancarkan pada 1984 sebagai inisiatif memperkenalkan produk tempatan.
Kempen yang diperkenalkan kerajaan itu antaranya bagi untuk mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk tempatan.
Comments