
Perlis merupakan negeri pembangkang paling bermasalah dengan defisit kewangan yang besar dan terpaksa dibantu Persekutuan untuk menguruskan negeri.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya tidak akan meminggirkan Perlis biar pun dalam kempen pilihanraya lalu PN yang memerintah negeri itu mentohmah kepimpinan kerajaan ketika ini dengan sangat hebat.
"Perlis sampai sekarang masih defisit dan bergantung untuk peroleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Dari sudut realiti saya tidak fikir pinjaman yang besar ini boleh dibayar.
"Saya dan rakan agensi pusat lain akan bersama kerajaan negeri fikirkan projek-projek yang boleh datangkan hasil baik dari segi pertanian, pelancongan dan perindustrian yang boleh memberi pulangan kepada negeri. Perlis akan diberikan keutamaan," katanya.
Terdahulu Anwar menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau. Dalam sesi mengadap tersebut beliau membicarakan soal pembangunan dan kemakmuran negara serta negeri Perlis.
Kemudian beliau menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam Perlis di Kangar

Hadir sama, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan lebih 1,200 kakitangan awam di negeri ini.
Mengulas hubungan antara Perlis dan Persekutuan, Anwar berkata hubungan kedua-dua belah pihak boleh dieratkan meskipun berlainan fahaman politik.
Ia terutama dalam memberi tumpuan kepada program-program yang memberi kepentingan kepada rakyat dan negeri.
"Soal projek akan bincang dan Menteri Besar juga ada menghantar beberapa projek seperti Pelabuhan Sanglang, Perlis Inland Port (PIP) dan projek sekuriti makanan iaitu hal-hal yang akan diberikan tumpuan.
"Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan datang bakal diadakan di negeri ini.
"Ia bagi memuktamadkan beberapa projek yang dapat membantu merancakkan ekonomi Perlis," tambahnya sambil berharap kerajaan negeri menggunakan kesempatan itu untuk berunding mengenai projek yang berpotensi untuk dilaksanakan.
Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana menunaikan janji untuk berkunjung ke negeri itu.
Beliau turut menyatakan rasa terima kasih kepada komitmen dinyatakan Anwar untuk membantu negeri itu seperti dibincangkan dalam pertemuan sebelum ini.
"Kerajaan Negeri sangat mengharapkan pertimbangan dan kelulusan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek berimpak tinggi yang dirancangkan
"Bagi sebuah negeri yang keluasannya hanyalah 819 kilometer persegi dengan penduduk seramai 284,000 orang, projek bernilai ratusan juta ringgit sudah boleh dianggap sebagai projek mega," katanya.