
Kerajaan mengarahkan pelarasan semula projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 yang sedang dalam pembinaan bagi mengurangkan impak 'banjir termenung' terhadap kawasan sekitarnya, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pelarasan itu dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan beberapa perkara teknikal bagi memastikan aliran air dari Sungai Lanchang ke Sungai Golok dapat mengalir keluar dengan lebih baik.
Langkah itu dibuat selepas pihaknya mendengar pandangan penduduk kampung di sekitar lokasi berkenaan yang terpaksa berdepan masalah banjir termenung sejak projek tersebut bermula.
"Kita kena ambil maklum projek ini belum siap sepenuhya, jadi memang ada perkara-perkara dibangkitkan.
"Ada dibuat pelarasan berdasarkan pandangan penduduk dan memandangkan ia tidak siap sepenuhnya, timbul beberapa masalah di peringkat proses pembinaan.
"Semua perkara ini kita bangkitkan selepas lawatan saya tempoh hari. Saya telah memanggil pihak JPS dan sebab itu mereka terus mengambil inisiatif melakukan beberapa penyesuaian untuk sekurang-kurangnya mengatasi masalah tersebut di Kampung Tersang dan kawasan sekitar," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) Kelantan dan Terengganu berkata begitu semasa pertemuan dengan ahli Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) dalam rangka lawatan ke negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut.
PLSB Sungai Golok dibina bertujuan mengelak masalah banjir termenung dan bah besar di kawasan itu pada masa hadapan.
Projek Fasa 1 melibatkan hilir Lembangan Sungai Golok di Jajahan Tumpat dan sebahagian lagi di Jajahan Pasir Mas dengan peruntukan berjumlah RM656 juta.
Sejak tahun lalu penduduk di Rantau Panjang menyuarakan keresahan mereka akibat banjir termenung atau air banjir yang amat sukar untuk surut sejak bermulanya pembinaan PLSB. Banyak kerosakan ke atas perabot dan dinding rumah penduduk akibat ditenggelami air dalam tempoh lama.
Comments