
Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berterusan dan masih tidak membenarkan beroperasi perniagaan Spa dan Pusat Kesejahteraan Keluarga yang sesetengahnya diusahakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menjadi tanda tanya apabila kebanyakan sektor sudah dibenarkan beroperasi.
Menurut Ahli Dewan Negeri Selangor, Dr Gunaraj George, pengusaha Spa dan Pusat Kesejahteraan Keluarga tersebut merupakan pengendali berlesen dan perkhidmatan itu menyumbang kepada kesejahteraan dan kesihatan masyarakat.
Katanya, sebahagian pusat berkenaan diusahakan oleh OKU cacat penglihatan dan kegiatan itu menjadi punca utama pendapatan mereka.
"Ramai pengusaha spa mengeluh dan khuatir jika perniagaan akan terpaksa ditutup dan bankrap kerana keengganan Kerajaan membenarkan sektor tersebut beroperasi sehingga ke hari ini.
"Spa sepatutnya diletakkan di bawah kategori ‘wellness’ yang membawa erti keadaan kesejateraan dalam menjalani gaya hidup sihat. Kerajaan wajar memberi layanan yang sama dan adil sepertimana kepada pengusaha pendandan rambut dan pusat kecantikan.
"Sewajarnya pengusaha “Wellness Centre” ini dibenarkan beroperasi dengan mengikut tatacara SOP yang ketat sepertimana pengusaha pendandan rambut dan pusat kecantikan dibenarkan beroperasi. Kerajaan digesa untuk meneliti semula sektor perniagaan yang boleh dibuka pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara. Pada masa ini, tiada lagi kluster spa yang direkodkan," kata Dr Gunaraj.
Beliau yang juga Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat Menteri Besar Selangor menambah, difahamkan industri Spa dan Wellness Centre menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 pekerja.
Jelasnya, jika perkara itu tidak diselesaikan oleh Kerajaan secara tuntas dan inklusif, akan terdapat lebih banyak lagi pengusaha yang terpaksa menutup perniagaan dan gulung tikar.
"Kerajaan harus melihat kepentingan untuk membenarkan operasi “Wellness Centre” dalam tempoh PPN ini kerana sektor ini merupakan salah satu sektor keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan terapi bagi kesihatan mereka. Sektor ini juga penting bagi kaum ibu yang memerlukan terapi ketika dan selepas bersalin.
"Dalam tempoh pandemik ini, sudah pasti ramai masyarakat yang terkesan daripada segi rohani dan jasmani justeru keperluan bagi mendapatkan terapi di “Wellness Centre” ini amat penting bagi menjamin kesejateraan dalam menjalani gaya hidup sihat.
"Kenyataan daripada kerajaan yang mengatakan spa sebagai perniagaan berisiko tinggi akan membantutkan strategi pemasaran industri spa pada masa akan datang," katanya.
Tegas beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memainkan peranan sepatutnya bagi memastikan pemilik lesen mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Menurut beliau lagi, sebagai pengendali yang sah mereka menerima sijil penilaian daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai salah satu syarat untuk beroperasi.
Comentários