Pindaan undang-undang boleh melalui proses biasa, tidak perlu darurat - Syed Ibrahim



Alasan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin bahawa proklamasi darurat penting untuk meminda undang-undang dipertikaikan oleh banyak pihak.


Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, pindaan akta-akta yang disebut dalam perutusan PM semalam untuk meyakinkan rakyat perlunya darurat diisytiharkan, sebelum ini tidak langsung mempunyai masalah untuk dipinda dan sebahagiannya telah pun diluluskan sejak 2019.


"Dalam ucapan PM ada dua fakta yang disebut mengapa dia perlukan perintah darurat. Pertama, pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit atau Akta 342.


"Dia sebut ada beberapa pindaan yang perlu dibuat. Pertama menutup premis sebab tak patuh SOP. Kedua, untuk tindakan perundangan ke atas pemilik perniagaan, francais dan sebagainya.


"Saya nak tanya, adakah pindaan undang-undang ini kita tidak boleh bawa dalam Parlimen, kita bahas dan bincang kemudian setuju bersama-sama? Kenapa kena ada perintah darurat untuk melaksanakannya?


"Kalau kita tengok Akta 342 ini, ada Perkara 24 yang menyebut Penalti Am. Iaitu tidak lebih 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.


"Kemudian kita tengok Perkara 26, Akta 342 pula menyebut boleh mengambil alih premis. (Telah) wujud dalam Akta 342. Apakah perkara ini (yang) sudah ada, dan tidak boleh dikuatkuasakan terus di bawah 342?" tanyanya dalam forum zoom bertajuk 'Darurat: Ke Mana Hala Tuju Negara?' anjuran Angkatan Muda KEADILAN Johor, malam tadi.


Begitu juga, menurut Syed Ibrahim, berkenaan Akta 446, berkaitan standard minimum perumanahan, penginapan dan kemudahan pekerja 1990.


Akta itu, katanya, bagi mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal mengikut standard, majikan perlu tanggung kos penginapan serta kos saringan kesihatan dan lain-lain.


"Saya rujuk kepada berita pada November 2019: "Akta 446, tingkat standard penginapan pekerja asing berkuatkuasa esok."


"Saya baca, Kementerian Sumber Manusia akan kuatkuasakan akta pindaan penambahbaikan bertujuan menaikkan standard penginapan pekerja asing. Semua majikan harus mematuhi standard akta berkenaan. Kalau gagal boleh dikenakan denda RM50,000 bagi setiap pekerja.


"Pindaan ini telah diluluskan dalam Dewan Rakyat, Julai 2019. Diwartakan pada 18 September 2019. Maksudnya lama dah. Kalau kita kata perlukan darurat untuk pinda, saya rasa kita terlambat," sinisnya.


Tambah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu, keadaan yang kritikal berlaku hari ini adalah kerana kerajaan tidak cekap menangani kluster tempat kerja.


Katanya, kerajaan telah pun mengetahui tempat kerja punca utama merebaknya Covid 19. Sekiranya kerajaan buka mata dan tumpu perkara tersebut sejak awal maka tidak perlu sehingga diisytihar darurat.


"Kita boleh bawa (pindaan undang-undang) dalam sidang Parlimen. Kita akan sokong pindaan yang perlu ini sebab kita tahu wabak ini merebak di tempat kerja.


"Soal Parlimen, saya nampak darurat yang menggantung Parlimen ini tidak perlulah berpusing-pusing (mencipta alasan).


"Kerajaan ini sudah hilang keabsahan, tiada majoriti dan kalau masuk Parlimen dia bimbang akan terpaksa beralih kerajaan, PM kena letak jawatan dan ditukar," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio