Pimpinan pemuda urus perbezaan, kembalikan minat politik generasi muda
- Suara Keadilan
- May 14, 2023
- 2 min read

Cabaran besar menanti sayap pemuda Kerajaan Perpaduan yang baru enam bulan ditubuhkan.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Adam Adli Abd Halim, tanggungjawab berat menanti pemimpin pemuda yang menyertai Konvensyen Anak Muda Kerajaan Perpaduan itu apabila pulang ke kawasan masing masing.
Katanya, pemuda perlu berusaha menokhtahkan permusuhan yang berpuluh tahun untuk bersama membina negara Malaysia.
"Ini usaha bersama untuk membina negara ini. Puluhan tahun permusuhan politik kita letakkan titik nokhtah pada pagi ini
"Tentu sekali ia tidak mudah. Ada banyak perbezaan yang perlu diuruskan dan pemimpin yang mengepalai sayap kepemudaan akan menggalas tanggungjawab besar menguruskan pemuda sebaik baiknya
"Komitmen bersama untuk kita bentuk gabungan yang kuat, dan akan beri manfaat kepada rakyat," katanya pagi tadi di WTC Kuala Lumpur.
Selain itu Adam juga berkata, rakan rakan di akar umbi memerlukan arahan dan semangat untuk kembali menggerakkan kempen agar anak muda lebih yakin kepada politik selepas menyaksikan pergolakan politik melelahkan sepanjang 2020 - 2022 lalu.
"Ramai anak muda hilang keyakinan kepada politik dan tidak sedikit dari kita tergolong dalam kumpulan orang yang letih tengok politik.
"Banyak perkara yang kita belum dapat jelaskan. Dalam tempoh 6 bulan lepas dalam kerajaan, cabaran untuk kenalpasti cabaran sebenar yang perlu diselesaikan.
"Kita boleh cakap soal gaji, peluang perumahan, kerja dan sebagainya tetapi mesti ada satu perkara pokok yang perlu diselesaikan," katanya.
Di peringkat Kementerian Belia dan Sukan pula, kata Adam, pendidikan politik demokrasi sedang giat digerakkan kepada golongan pemuda dengan penyertaan sayap pemuda pembangkang.
Tujuannya, kata beliau, agar anak muda 18 tahun yang boleh mengundi akan menjadi pengundi yang berkualiti dan faham erti politik serta matang untuk menentukan pilihan kerajaan bagi mereka.
"Akan datang kita akan perluaskan sebagai cara mematangkan golongan muda. Kita sudah turunkan umur mengundi namun tanggungjawab tidak terhenti di situ. Kita harus lahirkan pengundi yang dilihat sebagai penguat sesebuah negara. Kita sedang lakukan, untuk menjadikan mereka pengundi bermaklumat
"Benar politik bukan semestinya wadah membina sesebuah negara. Namun kita di sini adalah untuk memastikan orang berpotensi membangunkan negara ini dapat sebuah negara yang membenarkan potensi mereka dipenuhi," katanya lagi.
コメント