PH, KEADILAN bersiap sedia hadapi PRU 15 - Abdullah Sani



Perkembangan terbaharu 189 dari 192 Bahagian Umno menolak kerjasama seterusnya sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dengan Perikatan Nasional (PN) memungkinkan pembubaran Parlimen sekiranya Ahli-ahli Parlimen Umno menarik sokongan daripada kerajaan.


Menurut Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, perkara itu tidak mustahil terjadi dan sekiranya berlaku maka kerajaan PN akan tumbang.


Katanya, keretakan dalam PN kini amat parah dan berkemungkinan besar pula BN bertanding sendirian dalam PRU 15 kelak.


Sehubungan itu, Abdullah berkata, Pakatan Harapan (PH) telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut pada suku pertama 2021.


"Jadi kita jangan pedulikan mereka. Umno nak bertanding 80 kerusi, Bersatu nak bertanding, biarkan. Bagi saya secara konsistennya ia tidak mungkin berlaku satu pasukan (dalam PN).


"Kalau pun berlaku, biarkanlah. Atau perlawanan 6 - 7 penjuru pun tak jadi masalah. Bagi kami PH, kami telah bersedia, terutama sekali KEADILAN.


"KEADILAN telah membuktikan pada PRU 14 rakyat menerima KEADILAN berpandukan kepada agenda reformasi dan manifesto yang kita janjikan," katanya.


Ditanya apakah Umno/BN sekiranya dipujuk akan bersama Bersatu dan Pas dalam PRU 15, Abdullah menganggap penyatuan sukar berlaku dalam PN, apatah lagi banyak kerusi Bersatu merupakan milik Ahli Parlimen Umno yang melompat. Untuk bersama Pas pula, katanya, Umno telah melihat tanda-tanda parti itu akan mengkhianati mereka apabila secara sepihak menyertai PN tanpa restu Umno.


"Sepengalaman kita yang lalu chemistry tetap menjadi sejarah. Saya tak pernah nampak koalisi (PN) yang diwacanakan oleh mereka ini akan menjadi kenyataan.


"Kalau dilihat kepada kerusi-kerusi yang dituntut sudah bermula episod pertindihan akan berlaku. Dan kalau sekiranya berlaku, saya percaya sejarah yang lalu, Pas terutamanya tidak pernah berpegang pada janji mereka.


"Begitu juga dengan parti Bersatu. Kita lihat Bersatu ini semua pengkhianat masuk ke situ, maka jadilah pengkhianatan untuk dalaman mereka sendiri," katanya.


Sebaliknya, Abdullah yakin rakyat akan menerima PH berdasarkan rekod lampau dan pentadbiran di Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan yang cemerlang.


"22 bulan (kerajaan PH) macam-macam berlaku. Pimpinan tidak mahu menyegerakan manifesto. Saya tidak tahu apa sebabnya. Dia kata bukan kitab suci. Saya tak tahu, itu pandangan seseorang, Bible atau tidak, janji itu mesti dikotakan. Kita jangan jadi munafik


"Itu sebab saya kata kita bersiap siaga, PH khususnya KEADILAN. Kalau berlaku (PRU) kita berpandu kepada apa yang telah kita perolehi pada 2018, di mana kerusi-kerusi yang dikenal pasti menjurus kepada sokongan yang bergaya dari rakyat amnya," katanya lagi.


Bagaimanapun, bagi Abdullah, PH masih mempunyai kekuatan kerana mencalonkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri. Kerosakan imej PH yang dilakukan oleh Tun Mahathir, katanya tidak terpalit kepada Anwar kerana beliau tidak menyertai kabinet.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio