Pakatan Harapan (PH) Johor bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan Simpang Jeram yang akan diadakan pada waktu yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya selepas ini.
Menurut kenyataan PH Johor, mesyuarat PH Johor yang diadakan malam tadi telah dipengerusikan secara bersama oleh wakil PH Aminolhuda Hassan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Liew Chin Tong telah membincangkan persediaan bagi menghadapi PRK yang amat mencabar berdasarkan situasi semasa.
"Dalam mesyuarat tersebut, satu Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya telah dibentuk dan dikepalai oleh Pengerusi Amanah Negeri Johor, Tn Hj Aminolhuda Hassan bagi mendepani PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berikutan pemergian penyandangnya Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub.
"Ketiga-tiga parti komponen Amanah, KEADILAN dan DAP Johor telah menyatakan komitmen sepenuhnya bagi menggerakkan jentera pilihanraya tersebut," kata kenyataan PH Johor.
PH Johor turut menyatakan akan mempertahankan kemenangan yang diperolehi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin sebelum ini.
Menurut kenyataan itu lagi, perbincangan bersama pihak Barisan Nasional Negeri Johor juga sedang dijalankan atas semangat "Perpaduan Bawa Rahmah".
"PH Johor tidak akan mengambil mudah terhadap dua pilihanraya ini. Segala strategi akan diperhalusi bagi memastikan kemenangan.
"Pada masa yang sama, PH Johor menyedari legasi 'rahmah", kerja keras dan tanda aras terbaik yang telah ditinggalkan oleh Almarhum Datuk Seri Salahuddin sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat serta anggota kabinet kerajaan.
"Beliau selayaknya diingati sebagai seorang negarawan yang budiman, berperibadi mulia dan sentiasa komited membangunkan Malaysia yang lebih sejahtera," kata kenyataan itu lagi.
PH Johor dalam kenyataan itu berharap agar rakyat di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai akan terus memberikan sokongan kepada calon-calon yang bertanding di kerusi-kerusi tersebut bagi memastikan kesinambungan agenda Kerajaan Perpaduan untuk menstabil serta memulihkan ekonomi negara dalam nuansa 'rahmah' sepertimana dijulang Datuk Seri Salahuddin diteruskan.
Comentarios