Pakatan Harapan (PH) Johor menggesa Kerajaan Perikatan Nasional mempercepatkan proses vaksinasi ke atas rakyat di negeri itu.
Untuk itu, kata pimpinan PH Johor, pelbagai pendekatan dan idea perlu dipraktikkan, termasuk penggunaan trak vaksinasi sebagai mana di Lembah Kelang.
Kaedah tersebut adalah wajar kerana keluasan negeri itu serta masih terdapat banyak kawasan-kawasan pedalaman.
"Berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh Khairy Jamaluddin (Menteri MOSTI) berhubung pengoperasian 30 trak vaksinasi bergerak di sekitar Kuala Lumpur, PH Johor mendesak agar perkara sama turut dilakukan di Johor.
"Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) bergerak seperti ini amat membantu khususnya melibatkan kawasan-kawasan luar bandar juga memberi kemudahan pengambilan vaksin kepada warga emas yang mana pergerakan mereka terbatas.
"Pada masa sama, PH Johor berpandangan Klinik Kesihatan atau Klinik Desa juga boleh diaktifkan sebagai PPV sementara bagi tujuan tersebut.
"Kami berpandangan, angka statistik perkembangan Program Imunisasi Covid-19 negeri Johor agak membimbangkan. Di mana hingga 31 Mei 2021, jumlah pendaftaran vaksinasi di Johor pada kadar 52.6% sedangkan angka yang sudah divaksin sekadar 6.4% sahaja," kata mereka dalam satu kenyataan.
PH Johor juga mencadangkan kawasan rumah ibadat pelbagai kaum dijadikan sebagai PPV sementara bagi mempercepatkan proses suntikan vaksin terutama di kampung-kampung dan pedalaman.
"Sebagai cadangan tambahan, bagi kawasan majoriti Melayu contohnya di Felda, masjid boleh dipertimbangkan untuk dijadikan PPV. Ini selari dengan peranan masjid sebagai pusat yang bukan semata-mata untuk aktiviti ibadah seperti solat berjamaah sahaja, tetapi termasuk menjalankan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada ummah. Oleh itu masjid boleh dipertimbangkan bagi kegunaan PPV sepertimana yang dijalankan di United Kingdom.
"Pada masa sama, rumah-rumah ibadat lain seperti tokong atau kuil juga boleh dipertimbangkan berfungsi sebagai PPV berdasarkan keperluan majoriti rakyat setempat dari kalangan kaum Tionghua dan juga India," kata mereka lagi.
Selain itu, PH Johor menyarankan agar idea menggunakan kawasan IPTA dan IPTS di Johor yang pernah diangkat menerusi mesyuarat dalam talian yang dipengerusikan oleh Menteri Besar pada 27 Mei lalu diperhalusi segera.
Kata mereka, semua cadangan itu adalah tertakluk kepada data dan perkembangan semasa serta penilaian risiko bagi mempercepat proses vaksinasi bagi mencapai 'herd immunity' dalam kalangan rakyat Johor.
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan oleh Pengerusi PH Negeri Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Comments