Gagal tangani Covid: Pertimbangkan beralih kepada kepimpinan baharu - Anwar
- Redzuan Shamsudin
- Jan 11, 2021
- 1 min read

Kegagalan teruk pentadbiran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyididn Yassin mewajarkan rakyat dan ahli-ahli politik mempertimbangkan untuk berubah kepada kepimpinan baharu.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sudah tiba masanya negara tidak terus ditadbir oleh kepimpinan yang lemah dan tidak berupaya menjana ekonomi serta menarik pelaburan asing ke Malaysia.
"Patut ada satu kekuatan politik yang lebih stabil, yang mampu menetapkan arah tuju negara. Upaya menyelamatkan negara, bukan menyelamatkan kedudukan satu dua orang,
"Jadi kalau ada keputusan kebijaksanaan, Ahli-ahli Parlimen katakan cukup dengan peluang yang diberikan kepada yang ada sekarang (kerajaan PN) dan kita harus beralih kepada kekuatan dan kepimpinan baharu, saya fikir ia wajar diberikan pertimbangan," katanya dalam sidang media di Port Dickson petang tadi.
Anwar sebelum itu ditanya mengenai keputusan Ahli Parlimen Machang kelmarin yang menarik balik sokongannya kepada pentadbiran PM Muhyiddin.
Presiden KEADILAN itu menganggap langkah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub tersebut sebagai baik dan bijak.
"Itu satu keputusan yang bijak. Kalau kerajaan dah lemah, tak upaya tangani masalah Covid dengan berkesan, ekonomi sekarang lembab, pelaburan tak sampai, kemudian pendidikan ... semua kita hadapi masalah.
"Dan penyelesaian mereka itu pula berikan upah dan kedudukan kepada tokoh-tokoh politik. Jadi saya rasa ia patut dihentikan," katanya lagi.
Kelmarin kerajaan PN kehilangan majoriti di Parlimen apabila Ahmad Jazlan mengumumkan tidak lagi menyokong Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun beberapa menteri kabinet selepas itu menegaskan PN masih berkuasa dengan kelebihan 2 kerusi kerana dalam undian Belanjawan 2021 lalu pembangkang hanya memiliki sokongan sebanyak 108 kerusi.
ความคิดเห็น