
Isu kontrak syarikat pengambilan buruh Bangladesh di Kementerian Sumber Manusia (KSM) semakin menjadi tumpuan dan persoalan apabila tiada tindakan susulan dilakukan pihak kerajaan BN - PN setelah 'pendedahan besar' dalam kes mahkamah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, baru baru ini.
Sehubungan itu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang bersama Biro Guaman dan Undang undang AMK Malaysia hari ini membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan hal terbabit.
"AMK membuat laporan hari ini berhubung isu penyelewengan dan konflik kepentingan oleh beberapa syarikat yang berjaya memperoleh kontrak Kementerian Sumber Malaysia dalam pengambilan buruh warga Bangladesh ke Malaysia," kata kenyataan AMK Pulalu Pinang.
Dalam pada itu, Setiausaha Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia, Darwin Lim Chee Chien pula berkata dalam 25 syarikat yang terlibat terdapat 2 syarikat iaitu Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet yang ketika ini telah pun terbabit dalam perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Zahid Hamidi.
"Pemberian kontrak KSM kepada 2 syarikat ini jelas menimbulkan isu penyelewengan dan konflik kepentingan," dakwanya.
Manakala Ketua AMK Balik Pulau, Roshidi Roslan berkata mereka berpendapat bahawa siasatan harus dilakukan oleh SPRM dengan seberapa segera dan selengkapnya.
"Hal ini kerana isu ini bukan sahaja tentang pengambilan buruh Bangladesh ke Malaysia, malah membabitkan isu keselamatan negara sekiranya syarikat yang terlibat dalam pengambilan buruh tidak memenuhi syarat yang ditentukan dan wujudnya penyelewengan," katanya.
Turut hadir bersama memberi sokongan ke atas laporan itu ialah Ketua AMK Permatang Pauh Fahmi Zainol, Ketua AMK Balik Pulau Roshidi Roslan dan Naib Ketua AMK sdri Nurul Atika.
Juga Ketua AMK Bagan Ibrahim Idris, Ketua AMK Jelutong Said Mubarak, Naib Ketua AMK Bayan Baru Gavin Way, Wakil Mahasiswa KEADILAN Ng Sze Wei dan anggota AMK Batu Kawan.