Peniaga kecil dan penjaja mengeluh mengenai ketetapan waktu memulakan perniagaan pada pukul 8.00 pagi yang dikuatkuasakan sepanjang lockdown kali ini.
Biarpun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan peniaga-peniaga kecil yang mempunyai permit kekal atau sementara dari Pihak Berkuasa Tempatan diberi kebenaran untuk berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, Zuraida sepatutnya turun padang untuk melihat kesesuaian waktu perniagaan yang dibenarkan bagi golongan penjaja dan peniaga berkenaan.
"Persoalannya adakah menteri sendiri telah turun padang dan mendapat maklum balas daripada peniaga berkaitan terutamanya kesesuaian keputusan kerajaan menetapkan waktu berniaga bermula jam 8.00 pagi?
"Rata-rata peniaga kecil memberi maklumbalas agar waktu berniaga diawalkan ke 6.30 pagi. Dapatan lapangan ini terutamanya daripada peniaga sarapan pagi yang berniaga ditepi jalan.
"Pendapatan mereka terjejas teruk apabila waktu yang ditetapkan itu sangat singkat dan tidak masuk akal kerana pelanggan - pelanggan
ini biasanya akan membeli makanan seawal pagi sebelum waktu bekerja.
"Mana mungkin pekerja-pekerja yang makan gaji akan masuk sesuka hati atau lewat, dan perlu diingati bahawa bila sektor industri ini dibuka maka sudah tentu mereka akan mula bekerja sebelum jam 8.00 pagi," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu mengegsa Menteri KPKT membantu memberi kelonggaran waktu perniagaan lebih awal.
"Saya harap pihak Menteri KPKT Datuk Zuraida membantu agar dapat memberi peluang mereka terutamanya peniaga-peniaga kecil ini yang terkesan teruk pendapatan mereka dengan waktu bermulanya perniagaan dan hasil temubual saya terutamanya peniaga kecil di kawasan Dun Seri Setia ini, amat terkesan sekali.
"Dan semenjak bermulanya waktu perniagaan ini pada minggu lepas, pendapatan mereka langsung tidak ada untungnya," katanya lagi.
Comentarios