
Fokus utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah isu rakyat.
Hal itu ditegaskan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis mengumumkan calon di Thistle Hotel, pagi tadi.
Menurut beliau, KEADILAN seharusnya menumpukan kerja di peringkat akar umbi dan menerangkan sebaik mungkin kepada rakyat mengenai isu isu semasa.
"Kita harus tumpu kerja di bawah. Semua orang bercakap mengenai mendengar di bawah, di lapangan, tetapi sebagai parti reformasi kita harus pastikan gerakan kita di lapangan itu berterusan.
"Dua minggu lalu saya datang untuk meluncurkan jentera Angkatan Muda KEADILAN dan mereka memperkenalkan pendekatan berbeza, iaitu fokus kepada beberapa isu utama rakyat selain isu reformasi institusi yang juga penting juga tatakelola kerajaan.
"Saya anggap pendekatan ini dimanfaatkan untuk semua calon calon dan memfokuskan isu rakyat kerana tidak semua manifesto itu benar benar menyuarakan hati nurani rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyambung, tatakelola yang buruk menyebabkan rakyat miskin terus hidup menderita dan golongan kaya terus diberi keistimewaan, misalnya pinjaman bank tanpa cagaran sebagaimana dinikmati syarikat perjudian Genting Hong Kong yang muflis baru baru ini.
"Orang bawah, orang miskin tidak akan mendapat layanan sama. Sistem perbankan memihak golongan kaya, merempatkan kehidupan golongan miskin.
"Masalah Felda, FGV kekakyaan dikaut oleh sekelompok kecil dan peneroka kekal ditakuk lama. Kita lihat syarikat besar kelapa sawit yang mencatat keuntungan berbilion ringgit tetapi untuk beri sumbangan bila berlakunya masalah harga atau jerebu itu sedikit sekali.
"Syarikya balak catat nilai eksport RM8 bilion setahun. Bila kita suara keperluan beri sedikit keuntungan akibat banjir kerana pembalakan itu tidak dipedulikan.
"Dalam pertarungan ini, golongan bawah cemas dan kita perlu memberitahun kepada rakyat. Tidak ramai yang akan menyuarakan seperti saya sebut di Parlimen, bila kita suarakan, tauke besar ini tidak akan beri bantuan dalam pilihan raya. Mereka memilih parti yang sederhana sifatnya dalam (menangani) kegelohohan," katanya.

Tambah Anwar, tidak mustahil KEADILAN selepas ini akan menerima cabaran yang lebih berat berikutan sikap melawan oligarki yang memerintah negara.
Namun itu katanya adalah 'asam garam' perjuangan untuk menegakkan memastikan rakyat marhaen terbela.
"Kleptokarsi itu satu sistem yang mengangkat tokoh politik mencuri rakyat. Ini puluhan tahun kita lalui. Kita mesti tuntas dan mesti memberikan pandangan yang jelas juga jika terpaksa menanggung beban yang lebih besar.
"Ini sebabnya kita mencabar kesombongan kuasa, mencabar negara hukum di mana hakim boleh dipermainkan, mencabar sistem ekonomi yang menekan golongan bawah. Kita pertikai dasar perkauman yang meminggirkan suku kaum tertentu.
"Oleh demikian kita menerima tekanan yang maha dahsyat," katanya lagi.
Anwar dalam majlis itu mengumumkan 5 calon untuk mewakili KEADILAN dalam PRN kali ini, seperti berikut:
1. Zamil Najwah Arbain (DUN Larkin)
2. Chiong Sen Sern (DUN Bukit Batu)
3. SS Gopalakrishnan (DUN Tiram)
4. Mohd Fakharuddin Moslim (DUN Pasir Raja)
5. Napsiah Khamis (DUN Kempas)