Pengkhianatan 3 Ahli Parlimen KEADILAN sejak kebelakangan ini tidak akan menjejaskan semangat reformis tulen yang mahukan perubahan total dalam pemerintahan Malaysia sejak 1998.
Bagi Koordinator Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub, siri-siri pengkhianatan memang telah berlaku sejak KEADILAN ditubuhkan pada 1999.
Namun katanya, pengkhianatan tidak pernah melemahkan parti sebaliknya menambahkan kekuatan tahun demi tahun sehingga berjaya menumbangkan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
"Sebenarnya pengkhianatan, keluar parti, sejak saya menjadi Ketua Pemuda KEADILAN, pemangku Ketua Pemuda, kemudian Setiausaha Agung dan Naib Presiden KEADILAN, siri keluar parti ini, dan serang balik parti sudah beberapa kali berlaku. Tetapi apakah kehebatan KEADILAN?
"Kehebatan KEADILAN ialah ia tetap bertahan. Ada orang kata, ketika itu Parti Keadilan Nasional paling kuat bertahan 2 pilihan raya. Namun alhamdulillah kita bukan sahaja bertahan (2 PRU) namun mara setelah 5 PRU.
"Ini kehebatan yang ada pada KEADILAN yang dicemburui kawan dan lawan. Saya ingin ungkapkan selaku mantan Setiausaha Agung dan juga Naib Presiden, KEADILAN ini bermula dengan puluhan ribu anggota dan kemudian naik kepada ratusan ribu. Sekarang angka anggota KEADILAN melebihi 1 juta. Maknanya pengkhianatan tidak melemahkan para reformis tulen. Tidak melemahkan orang lama yang setia bersama Datuk Seri Anwar, digabungkan dengan muka-muka baharu.
"Ini yang perlu kita gilap semula. Orang-orang lama, senior yang bertahan dan setia dengan perjuangan Reformasi. Saya tahu sebahagian besar reformis yang setia dengan perjuangan ini tak mahu tunjuk muka sangat.
"Ada sifat tawaduk, merendah diri. Jadi ini yang perlu ada dan mereka sebenarnya amat mendukung deklarasi Permatang Pauh," katanya dalam forum Facebook bertajuk: "Reformis tolak pengkhianatan, utamakan agenda reformasi", baru-baru ini.
Menurut Mastaffa lagi, selain semangat kental reformis yang mendukung perjuangan Reformasi, KEADILAN juga perlukan formula untuk menang PRU ke 15. Iaitu dengan mencetuskan agenda baharu di tengah-tengah kebuntuan politik yang dihadapi.
Katanya, seperti mana Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) pernah menggamit imaginasi rakyat berbilang kaum pada 2007, maka agenda ekonomi digital wajar diperkenalkan pada kali ini untuk diteliti oleh generasi muda yang amat terkesan menghadapi perubahan drastik teknologi dalam sedekad akan datang.
"Pandangan kita kepada pucuk pimpinan supaya ada kerangka pemikiran baharu. Kalau dahulu ada Agenda Ekonomi Malaysia pada 2007 yang menjadi milestone kepada perubahan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan reformasi.
"Saya kira untuk satu dua tahun akan datang ini soal digital, agenda digital ekonomi manusiawi perlu digarab sebaik mungkin oleh Datuk Seri Anwar dan satu pasukan khas bagi dipersembahkan kepada rakyat dalam menanggapi masalah pengangguran, juga menanggapi minda anak muda dan seumpamanya.
"DNA 23 yang beliau (Anwar) pernah mulakan (pada 2019) saya fikir perlu dikembangkan ke akar umbi dan dicatat sebagai manifesto kita," katanya lagi.
GRM dianggotai 12 NGO pro Reformasi; Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT), Pro98 Reformis, Otai Reformis 98, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (PAHLAWAN), Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM), Persatuan Media Sosial (PEMASSA), Gerak Aktif Sosioekonomi Amal Kebajikan (GASAK), Pertubuhan Gerakan Pejuang Negara Malaysia (GMPN), Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MASSA) dan Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO).
コメント