
Konvensyen Nasional AMANAH 2023 yang berlangsung hari ini dan esok akan memilih barisan kepimpinan baharu akan menyaksikan nasib barisan kepimpinan sedia ada diketuai Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu sama ada bertahan atau digantikan dengan kepimpinan baharu.
Bagi Mohamad, terpilih atau tidak beliau bersama barisan kepimpinan sedia adalah keputusan ahli dan mereka akan menerimanya dengan terbuka.
"Terserah kepada 27 orang sama ada nak meneruskan atau ubah. Kita terima keputusan yang dibuat oleh top leader yang dipilih, 27 orang itu.
"Dalam parti politik kena terima apa sahaja yang dipilih oleh pimpinan. Terserah kepada keputusan dibuat mereka," katanya dalam sidang media selepas ucapan pidato Presiden AMANAH, pagi tadi.
AMANAH mempunyai kaedah pemilihan kepimpinan secara syura dan berbeza dengan parti politik lain melakukan pemilihan secara langsung.
Dalam pemilihan syura, ahli akan mengundi bagi memilih 27 pemimpin utama berdasarkan pencapaian, nilai yang dibawa dan kerjasama yang mampu menyumbang kepada pengukuhan parti terutama dalam Kerajaan Perpaduan.
Manakala 27 pemimpin ini akan memilih pemimpin bagi membentuk kepemimpinan termasuklah bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta ketua sayap Pemuda, Wanita dan Wanita Muda.
Calon presiden AMANAH yang diperkatakan oleh ahli pari itu selain Mohamad adalah Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang kini merupakan Naib Presiden AMANAH.
Comments