Barisan ahli Parlimen pembangkang mengemukakan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), dengan tujuan untuk menggesa sekutunya Israel menghentikan kekejaman terhadap Palestin.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh selaku wakil parti KEADILAN berkata, walaupun memorandum itu tidak dapat dihantar secara bersemuka mahupun maya, beberapa tuntutan perlu dikemukakan segera.
Katanya, memorandum itu menggariskan beberapa tuntutan kepada beberapa pihak termasuklah Israel, AS dan kerajaan Malaysia.
"Kita menuntut regim zionis Israel menghentikan serangan terhadap Palestin dan menghentikan pendudukan peminggiran paksa rakyat Palestin yang melanggar hak asasi manusia.
"Kita juga mendesak PBB, walaupun pertubuhan antarabangsa ini dikatakan tidak berupaya untuk memperjuangkan Palestin, mereka tetap harus bertindak batas kemampuan dan menghukum aparteid Israel.
"Selain itu, kita menuntut AS mengakhiri keterlibatan mereka dalam hubungan dengan Israel atas pelanggaran regim itu terhadap hak asasi manusia. AS dipergunakan Israel untuk menyerang Palestin dan mereka perlu menilai semula hubungan dengan Israel," katanya.
Pada masa sama, Syed Ibrahim turut menuntut beberapa perkara dari kerajaan Malaysia.
"Kami mendesak kerajaan menunjukkan kecaman lebih keras dengan menggesa OIC, Liga Arab dan PBB supaya mengambil tindakan lebih bermakna. Dasar luar Malaysia diakui amat tegas, tetapi mesti ada tindakan lebih keras, tidak bermakna Indonesia dan Brunei sahaja, sebaliknya perlu mengajak negara lain untuk turut mengutuk regim Israel.
"Kami juga menuntut kerajaan supaya menghantar utusan pendamaian bagi menerangkan berkenaan pencabulan hak asasi yang dilanggar oleh Israel.
"Tuntutan paling besar adalah mendesak Perdana Menteri supaya menasihati Agong memanggil sidang khas Parlimen mengikut SOP ditetapkan bagi mengutuk zionis Israel dan menunjukkan sokongan bipartisan.
"Memang kami sedar kerajaan bimbang dengan isu politik, tetapi menjadi satu harapan kepada Palestin kepada Malaysia untuk menunjukkan iltizam melalui saluran Parlimen.
"Kita juga menuntut kepada ahli-ahli Parlimen mesti bertindak mendedahkan kekejaman Israel dan mendesak menghentikan kerjasama dengan Israel, melarang semua jenis kerjasama dan perdagangan dengan regim itu.
"Kita juga tuntut memboikot produk perkhidmatan dari syarikat-syarikat dan bank antarabangsa yang melibatkan Israel yang terlibat dengan jenayah zionis dan pelanggaran hak asasi manusia," katanya.
Kenyataan Syed Ibrahim turut disokong oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
"Saya mewakili DAP menggesa supaya AS menghentikan Israel dan menghentikan penempatan haram Baitulmaqdis Timur.
"Kita mahu perkara ini diselesaikan secara pendamaian bukan keganasan," katanya.
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub selaku wakil parti Amanah yakin tekanan perlu terus digiatkan terhadap Israel di peringkat antarabangsa akan membuahkan hasil di masa akan datang.
"Yakinlah, jenayah perang Israel dan tokoh pembunuhan sebaris dengan apa yang berlaku di Bosnia sebelum ini akhirnya di bawa ke mahkamah antarabangsa, jadi kita masih boleh lagi memainkan peranan antarabangsa.
"Sebab itu, saya setuju sekiranya Perdana Menteri segera menasihati Agong memberikan perkenan supaya Parlimen dibuka, tidak ada lagi tempat bergantung harap untuk isu Covid-19 dan isu kemanusiaan.
"Ahli-ahli Parlimen pembangkang bersedia ke Parlimen dengan mematuhi SOP. Kalau Perdana Menteri takut Parlimen digunakan untuk undi tidak percaya, demi kemanusiaan, jika diadakan Parlimen, kita takkan bawa usul undi tidak percaya.
"Yang paling penting Parlimen bersidang supaya dapat mendesak negara-negara Islam supaya lebih prihatin terhadap Palestin.
"Amanah juga membuat keputusan untuk menghantar memorandum kepada setiausaha agung PBB supaya tentera pengaman dihantar segera supaya dapat melaksanakan gencatan senjata dan memberi bantuan serta memastikan Malaysia menjadi sebahagian dari misi tersebut.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik turut menggesa Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen dalam masa terdekat.
"Saya gesa Perdana Menteri membuka Parlimen untuk membincangkan isu Palestin, jika beliau benar-benar prihatin dan benar-benar ikhlas dan bukan pura-pura, beliau harus menunjukkan integriti dan bertanggungjawab dalam isu ini," katanya.
Comentários