
Isu pemandu mabuk menjadi bahan kempen 'maut' ketika Umno dan Pas menjadi pembangkang. Terutama menjelang Tahun Baharu Cina lalu, kemalangan melibatkan kaum Cina dan Melayu dijadikan bahan serangan ke atas pentadbiran Pakatan Harapan, kononnya kerajaan merestui penjualan arak secara berleluasa dan enggan mengenakan hukuman keras ke atas bukan Melayu. Namun, hal yang berbeza berlaku ketika dilaporkan seorang anggota polis berbanga Melayu terbunuh di sekatan jalan raya baru-baru ini akibat dirempuh pemandu mabuk, hanya Pas yang berbicara 'suam-suam kuku' sedangkan mereka pernah mencadangkan hukuman mati. Manakala Umno langsung tidak bersuara ketika Menteri Pengangkutan adalah anggota MCA-BN. Bagi Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen, pemandu mabuk tidak wajar dijadikan isu hanya untuk mendapatkan sokongan politik. Sebaliknya wajar diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan sudah banyak kes-kes seperti itu yang mengorbankan nyawa mangsa tidak bersalah. Katanya, walaupun kerajaan sibuk menangani wabak Covid-19 namun kes pemandu mabuk juga perlu dititikberatkan. "Saya mahu pihak kerajaan PN ambil hukuman keras terhadap pemandu mabuk ini, kita tahu kes kemalangan biasanya akan diuruskan oleh pihak polis. Namun, kerajaan kena kuatkuasakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pemandu mabuk. "Dan kita juga (pembangkang) mengambil tanggungjawab yang sama dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan. Dalam isu Covid 19 pula, William menegaskan kerajaan PN serius menjaga kebajikan rakyat dan bukannya mengeluarkan cadangan-cadangan yang mengarut dalam keadaan rakyat susah. "Kita tak nampak apa kerajaan mampu lakukan, setakat (suruh tiru suara) Doraemon, minum air suam, semua itu tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. "Kita tengok lepas PKP (perintah kawalan pergerakan), apakah dasar PN atau manifesto kepada rakyat? Adakah mereka akan ikut apa yang Pakatan Harapan laksanakan sebelum ini? "Atau Perdana Menteri akan ikut manifesto Pas atau Umno selepas ini? Rakyat sedang menunggu kerana mereka telah mengkhianati mandat rakyat dalam PRU-14 yang lalu," kata William lagi.