Pelonggaran sekatan pergerakan perlu perancangan lebih rapi - PH


Kelonggaran sekatan pergerakan yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional dalam pelan pemulihan negara terhadap individu yang telah lengkap mengambil 2 dos vaksin Covid 19 perlu dirancang lebih rapi.


Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengkritik perancangan lemah perang melawan Covid yang gagal oleh kerajaan PN dan kini pelonggaran sekatan merentas negeri yang dilaksanakan mulai 10 Ogos lalu.


"Kelonggaran ini lebih kepada pengakuan kegagalan Kerajaan PN melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat untuk mengekang penularan wabak Covid-19 yang membunuh lebih 11,162 rakyat Malaysia dengan 1.3 juta jangkitan sehingga 10 Ogos 2021.


"Walaupun ramai yang mungkin berasa lega kelonggaran-kelonggaran ini, namun peringatan dari pakar kesihatan awam berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.


"Ini termasuklah menambah peruntukan bagi rawatan Covid-19 khususnya meningkatkan jumlah katil ICU, pemekat oksigen (oxygen concentrator), menjalankan saringan ujian secara awam mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu “Find, Test, Trace, Isolate and Support plus vaccination” (FTTIS+V) serta lain-lain keperluan di negeri-negeri Fasa 2 sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang Covid-19 yang baharu," kata mereka.


Majlis Presiden juga menekankan perlunya jumlah vaksin dos pertama di negeri-negeri tertentu wajib dipertingkat segera sebelum Hari Merdeka pada 31 Ogos ini, terutama di Sabah yang merupakan negeri-negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.


Menurut mereka, memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus Covid-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri Fasa 2.


"Memandangkan virus Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan atau aerosol, kami berpandangan SOP pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikemaskini dan dikuatkuasa dengan lebih tegas. Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi (HEPA filter).


"Kerajaan juga harus membantu premis-premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan yang sudah menerima dua dos vaksin perlu memastikan kesemua pekerja mereka menerima sekurang-kurangnya vaksin dos pertama," kata mereka.


Selain itu, Majlis Presiden turut mengulangi pendirian keperluan kerajaan memberi suntikan fiskal terhadap kewangan negara secara langsung yang lebih besar, iaitu sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, serta membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP atau ‘total lockdown’ sejak 1 Jun 2021.


"Tanpa suntikan tambahan RM45 bilion ini, jemputan untuk hanya seorang wakil PH ke dalam Majlis Pemulihan Negara adalah tidak bermakna dan ditolak kerana ia bagai “melepaskan batuk di tangga” untuk mengesahkan dasar ekonomi dan pandemik Covid-19 oleh Kerajaan PN yang telah gagal," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER