top of page

PdPR: Jangan bebankan guru, perkenal pedagogi baharu, sediakan elaun khas


Sesi persekolahan normal yang ditunda berikutan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka akan membebankan para guru dengan keadah pengajaran maya dan pembelian data internet.


Bagi mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya lebih peka dalam sesi tahun ini selepas beberapa percubaan PdPR sebelum ini.


"Pelbagai isu timbul sepertimana sebelum ini. Isu kemiskinan digital yang menyebabkan kesenjangan pemilikan peranti dan juga kesenjangan akses kepada pembelajaran talian akan kembali.


"Walaupun kini sudah ada DidikTV, namun keberkesanannya masih diragui bukan sahaja oleh ibubapa, malah oleh majoriti guru-guru. Begitu juga bahan-bahan dari DidikTV yang sepatutnya ditempatkan di dalam portal milik KPM seperti Delima dan EduwebTV, tidak pula ditempatkan di sana.


"Ianya diletakkan di laman web Tonton milik syarikat TV swasta walaupun yang terlibat menghasilkan bahan-bahan tersebut adalah para guru KPM sendiri.


"Lebih malang kerana kecuaian seorang dua guru, sesetengah ibubapa dan warga net pula akan segera menyalahkan para guru dan menuduh mereka makan gaji buta.


"Hakikatnya majoriti para guru berhempas pulas untuk memastikan anak-anak murid mereka terdidik. Tiada istilah makan gaji buta sewaktu PKP dan PdPR bagi para guru," kata Maszlee dalam satu kenyataan


Menurut Ahli Parlimen Simpang Renggam itu lagi, guru-guru dalam sesi pengajian lepas telah berkorban kepada anak-anak murid yang tidak mempunyai talian internet atau peranti dengan mengedarkan helaian kerja atau kerja rumah untuk dibuat oleh murid-murid.


Katanya, ada juga yang melakukan pelbagai inisiatif sendiri demi memastikan tiada hari yang dilalui oleh anak-anak murid tanpa diisikan dengan perkara yang bermanfaat.


Oleh itu, Maszlee mencadangkan para guru yang menghadapi cabaran PdPR diberi elaun tambahan untuk memudahkan pengajaran mereka. Lebih-lebih lagi jika terpaksa membeli data internet tambahan.


"Di atas dasar inilah semenjak tahun lalu, saya telah berkali-kali membawakan isu insentif kepada para guru ini diberikan, samada di dalam sidang Parlimen, perbahasan Belanjawan 2021, mahupun di dada-dada media.


"Para guru amat memerlukan insentif ini demi menampung usaha mereka mendidik anak-anak murid. Di atas dasar ini jugalah, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) yang saya terajui, di dalam kenyataan medianya bertarikh 9 Mei 2021 telah mendesak agar kerajaan memberikan insentif tambahan kepada para guru apabila berlangsungnya PdPR untuk perbelanjaan data dan alat bantuan mengajar (ABM) mereka," katanya.


Sehubungan itu, Maszlee mencadangkan KPM memberikan bimbingan dan panduan yang cukup tentang pedagogi pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian kepada guru-guru, terutamanya mengenai pengalaman di negara-negara maju yang terkenal dengan kualiti pendidikan mereka yang terkehadapan.


Begtu juga, katanya, kerja-kerja pengutipan dan penyelarasan data sekolah tidak boleh dibebankan kepada para guru, malah seharusnya dilakukan oleh pegawai tadbir di peringkat PPD, JPN, dan KPM.


"KPM sepatutnya telah mempunyai aplikasi pelaporan yang dipermudahkan melalui aplikasi telefon bimbit samada yang menggunakan sistem Android mahupun iOS.


"Sistem aplikasi inilah yang telah cuba dibangunkan melalui Jawatankuasa Dataraya (Big Data) yang telah dimulakan pada 1 Julai 2019, tetapi malangnya telah dibubarkan selepas bertukar kerajaan di bawah pimpinan Perikatan Nasional (PN). Alangkah baiknya jika diteruskan usaha tersebut demi memudahkan kerja para guru," katanya.


Oleh itu, Maszlee menggesa pihak KPM yang diterajui oleh Senator Dr Radzi Jidin dan kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Mah Hang Soon, dan Muslimin Yahaya untuk tidak mengabaikan kebajikan dan kepentingan para guru sewaktu PdPR dilaksanakan nanti.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page