PdPR: Ibu bapa bimbang tahap keciciran murid tinggi


Sistem pendidikan negara seharusnya memberi jaminan agar tahap keciciran murid tidak tinggi apabila mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdRP).


Menurut Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) kaedah buka dan tutup sekolah yang diamalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini dikhuatiri ibu bapa bakal menyebabkan anak-anak mereka mengalami masalah keciciran yang serius di masa hadapan.


"Ibu bapa risau perkembangan pelajaran anak-anak. Murid-murid mungkin ketinggalan dalam silibus akibat tidak dibenarkan ke sekolah oleh ibu bapa berdasarkan keadaan pandemik yang semakin kritikal.


"Tiada alternatif yang dicadangkan oleh KPM untuk membantu murid-murid dari segi pelajaran mereka. Sepatutnya setelah setahun berlalu, pihak KPM boleh menyediakan bahan-bahan pembelajaran kendiri kepada murid-murid dengan pedagogi baharu dan fleksibel.


"Lebih membimbangkan, ibu bapa juga tidak tahu sejauh mana anak mereka benar-benar belajar dan menguasai topik yang diajar. Ibu bapa tidak boleh menyemak buku latihan dan KPM tidak memberi panduan - secara fizikal mahupun melalui aplikasi khusus untuk ibu bapa memantau pembelajaran dan perkembangan anak-anak," kata mereka dalam satu kenyataan.


Bagi mereka juga konsep PdPR turut membebankan guru kerana terpaksa menyediakan dua sukatan berbeza iaitu pendidikan di sekolah dan pendidikan di rumah.


Hal itu, akan mengurangkan keberkesanan guru mengajar kerana dibebankan terlalu banyak tugas.


"Bagi pihak guru-guru mereka menjadi terbeban untuk PdPR kerana terpaksa mengajar seperti jadual dalam bilik darjah walaupun di atas talian. Guru-guru terpaksa mengadap laptop sepanjang hari, meskipun persediaan untuk PdPR lebih mencabar dan kompleks berbanding kaedah bersemuka.


"Lebih malang mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri membeli data tambahan, membeli alat bantu mengajar dan lain-lain keperluan untuk PdPR selain dari berkongsi data untuk anak-anak mereka sendiri belajar. Di atas dasar inilah Jawatankuasa ini mendesak agar para guru diberikan insentif tambahan apabila berlangsungnya PdPR," kata mereka.


Sehubungan itu, Jawatankuasa Pendidikan PH mahu kerja-kerja pengutipan dan penyelarasan data sekolah seharusnya dilakukan oleh pegawai tadbir di peringkat PPD, JPN, dan KPM.


Guru-guru, kata mereka seharusnya dikurangkan beban kerja perkeranian sewaktu pandemik seperti memberikan laporan harian PdPR di peringkat sekolah, PPD dan JPN.


Selain itu, Jawatankuasa juga mengkritik penutupan secara pukul rata sekolah di seluruh negara selepas cuti Aidilfitri tanpa bersandarkan kepada sains dan data untuk mengenal pasti hotspot Covid-19, menyukar dan membantutkan penyelarasan kerja pentadbiran di sekolah dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc).


"Dalam tempoh serta merta sekolah ditutup dan dibuka menyebabkan guru terpaksa melakukan sesi pembelajaran tanpa persediaan rapi.


"Kesannya, murid-murid hilang tumpuan dalam pelajaran dan guru-guru terbeban dengan kerja persiapan. KPM perlu membezakan kawasan hijau dan selamat dari kawasan merah atau kuning. Sistem HIDE boleh membantu KPM mengenalpasti sekolah yang sesuai ditutup ataupun tidak.


"Bagi kawasan pedalaman dan luar bandar yang jauh dari jangkitan dan tiada kes serta pergerakan keluar dan masuk, KPM sepatutnya membenarkan sekolah-sekolah terus dibuka, terutama kerana capaian internet tidak mencukupi untuk mereka menjalani PdPR.


"KPM juga boleh menggunakan sistem penggiliran persekolahan. Sebagai contoh, bagi pelajar yang akan menghadapi SPM tahun 2021, mereka dicadangkan menghadiri ke sekolah setiap hari. Namun bagi pelajar tingkatan 4, mereka boleh hadir ke sekolah pada Isnin untuk PdPc, hari Selasa PdPR, hari Rabu PdPc, hari Khamis DidikTV, dan hari Jumaat ke sekolah untuk PdPc," kata mereka lagi.


Mereka juga menuntut penjelasan mengenai masalah peranti dan capaian internet. Malah kata mereka, status program pemberian 150,000 peranti yang diumum 6 November 2020 tidak diketahui, manakala usaha kerajaan untuk meningkatkan capaian internet secara drastik di kawasan luar bandar juga tidak nampak kesungguhannya.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah).



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
5304
64
8163
Total
657,508
3908
580,276

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
347,342
9,422
391,535
Total
176,420,883
3,811,183
158,674,643

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER