top of page

Pastikan pelajar India cemerlang lanjutkan pelajaran, henti kitaran kemiskinan



Saban tahun mendengar isu pelajar cemerlang khususnya dari etnik India yang tidak menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ketiadaan biasiswa atau ketidak mampuan keluarga untuk membiayai pendidikan.


Bagi Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George, kegagalan sistem pendidikan negara menyerap pelajar cemerlang tersebut bukan lagi isu keciciran semata mata tetapi juga menyangkut isu kegagalan sistem pentadbiran menamatkan kitaran kemiskinan terutama dalam kalangan rakyat bawahan.


"Ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM sering mendapati diri mereka terhalang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam bidang perubatan atas pelbagai sebab.


"Amat mengecewakan (sekiranya mendapat tempat), mereka sering diberi kursus yang berbeza di universiti awam dan memusnahkan harapan untuk mencapai impian mereka.


"Disebabkan ini, ramai pelajar India Malaysia dengan keputusan cemerlang dan berpotensi untuk membawa perubahan transformatif kepada keluarga mereka, dikesampingkan," kata Dr Gunaraj dalam satu kenyataan.


Kegagalan untuk melanjutkan pelajaran, kata beliau, seringkali menjadi kegagalan kolektif keluarga dan komuniti etnik India itu sendiri untuk menjadi lebih baik daripada keadaan sedia ada.


Katanya, Kerajaan Madani seharusnya memikirkan cara untuk mengatasi tempat terhad di IPT awam bagi pelajar India berkenaan dan halangan kewangan dalam kalangan mereka.


"Tahun demi tahun, kita menyaksikan senario yang menyayat hati berlaku, di mana ramai anak muda Malaysia yang luar biasa gagal diberi galakan dan tidak disokong.


"Akibat pengabaian sistemik ini sangat besar, bukan sahaja menjejaskan sektor pendidikan tetapi juga masyarakat dan ekonomi kita secara keseluruhan.


"Saya amat prihatin terhadap masa depan negara kita, kebimbangan yang dikongsi oleh ramai yang memahami kuasa transformasi pendidikan.


"Keadaan ini melanda teras keadilan pendidikan dan kesaksamaan sosio ekonomi di negara kita. Anak muda Malaysia ini, dengan rekod akademik cemerlang, bukan hanya individu tetapi ia adalah simbol harapan, potensi, dan cita-cita (komuniti keseluruhan)," katanya.


Sehubungan itu, Dr Gunaraj mencadangkan agar Kerajaan Madani mewujudkan program khas untuk membawa anak anak cemerlang tersebut melanjutkan pengajian dengan syarat dan kelayakan tertentu.


"Saya mencadangkan kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang pelajar yang layak dari latar belakang yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi menerima sokongan yang diperlukan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.


"Inisiatif ini bukan sekadar menawarkan bantuan kepada pelajar individu; ia adalah mengenai memutuskan rantaian kemiskinan, memperkasakan keluarga, dan membentuk semula seluruh komuniti.


"Ini akan menjadi satu langkah ke arah yang betul ke arah menamatkan kemiskinan tegar seperti yang dibayangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Dengan melabur dalam pendidikan anak muda India yang berbakat ini, kita bukan sekadar menawarkan bantuan sementara tetapi melengkapkan mereka dengan pengetahuan, peralatan dan peluang untuk meningkatkan diri dan keluarga daripada kitaran kemiskinan yang berterusan," katanya lagi.


Dr Gunaraj menegaskan, pendidikan bukanlah perbelanjaan hangus sebaliknya ia merupakan pelaburan untuk kemakmuran dan pembangunan masa depan negara. Pelajar-pelajar tersebut, katanya, mewakili Malaysia yang lebih cerah, sebuah negara di mana bakat tidak mengenal sempadan, dan peluang tidak ditentukan oleh keadaan ekonomi atau latar belakang etnik.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page