Hak asasi tiada kaitan dengan agama, kerajaan gagal didik kesyumulan Islam



Kerajaan BN dan kini Perikatan Nasional yang memerintah sama ada telah gagal atau sengaja tidak mendidik rakyat, khususnya kaum Melayu tentang konsep keluasan dan kesyumulan ajaran Islam.


Bagi mantan Senator Dr Muhammad Nur Manuty, kerajaan mungkin tidak mahu kaum Melayu mengetahui konsep sebenar ajaran Islam demi mempertahankan kekuasaan mereka.


Sedangkan katanya, ajaran Islam luas meliputi konsep hak asasi manusia, kenegaraan, alam sekitar dan lain-lain. Bukan terhad amal ibadat sahaja.


Oleh kerana kekangan itu, kata Dr Muhammad, timbullah ungkapan masyarakat Melayu luar bandar, kononnya parti majmuk seperti KEADILAN tidak pentingkan agama atau mengamal sekularisme.


"Pengalaman saya bertanding di Parlimen Bagan Serai, Perak, di kawasan parit-parit (luar bandar), ada pengerusi yang simpati dengan saya, kebetulan dia orang ABIM, katanya, 'Ustaz Muhammad Nur nanti terangkan perlembagaan parti dan perisytiharan Permatang Pauh. Kalau boleh bawa ayat Quran dan Hadis sekali.


"Saya tanya pasal apa? Dia kata, 'nanti orang ingat parti ini sama dengan DAP. Sekular tak ada agama'.


"Jadi di sini orang kampung ini tasawur atau world view Islamnya masih belum meluas meski pun beratus tahun Islam datang ke alam Melayu.


"Umno gagal menerangkan Islam. NGO-NGO Islam pun gagal. Tasawur Islam Islam tak sampai," kata Dr Muhammad dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.


Menurut bekas Ketua Penerangan KEADILAN itu, orang Melayu kurang dididik mengenai hak asasi, keadilan undang-undang atau sistem pemerintahan sebagai sebahagian daripada ajaran Islam.


Mereka sering menganggap hak asasi manusia nilai budaya asing dan harus ditentang. Hal ini berlaku, menurut Dr Muhammad, kerana agensi dakwah kerajaan sendiri gagal menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya.


"Orang Melayu tak hargai hak asasi manusia. Walaupun Datuk Seri Anwar dan lain-lain tokoh bicara tentang hak asasi.


"Kalau di bandar Kuala Lumpur, Ipoh, George Town misalnya orang tengok hak asasi manusia ini seperti Magna Carta di Engkand. Namun isu hak asasi itu dalam Islam telah ditulis oleh ulama-ulama besar seperti Qaradawi, Wahba Zuhaili dan tak diketahui oleh masyarakat kerana JAKIM tidak memainkan peranan walaupun bajetnya besar.


"Tidak dicetak buku-buku kecil untuk diedar di masjid. Guru takmir (guru membangun masjid) tak ada bahan-bahan sedemikian. Walaupun (hak asasi) itu dibicarakan dalam Quran, dalam hadis Rasullullah," katanya lagi.


Bagi bekas Presiden ABIM keempat itu, tiba masanya muslim di Malaysia didedahkan dengan ilmu pengetahuan yang lebih terbuka. Konsep hak asasi manusia dalam Islam bukan diambil dari Barat. Malah Barat yang mempelajari Piagam Madinah dan sebagainya.


"Hak asasi manusia dalam Islam ada yang bersamaan dengan apa yang ada dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), walaupun dari segi prinsipnya ada yang membezakan antara Islam dengan hak asasi PBB seperti kita tak boleh beri kebebasan penuh.


"Tetapi menghormati hak asasi manusia seperti semua bangsa, agama berhak dapat rumah yang baik, pakaian baik, hak bersuara, hak berdemonstrasi, hak mendapat pekerjaan baik, hak mendapat air baik itu diterima dalam Islam.


"Isu hak asasi juga disebut ulama sebagai satu kewajipan," katanya.


Sehubungan itu, Dr Muhammad Nur menyeru hak assasi, penjagaan alam sekitar, negara hukum dan lain-lain diajar di institusi pengajian tinggi sebagai sebahagian daripada ilmu Islam bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kesyumulan agama Islam itu sendiri.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio