Pampasan HSR lebih RM1 bilion, lebih baik dana diberi kepada rakyat - Akmal



Pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura seperti yang diumumkan semalam menyebabkan pembayaran pampasan yang melebihi RM1 bilion.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir, jumlah yang sangat besar itu adalah lebih baik sekiranya diberikan kepada rakyat untuk program pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid 19.


"Pembatalan projek HSR mengakibatkan kerugian wang pembayar cukai yang dianggarkan kira-kira RM 310 juta dan perlu dibayar sebagai pampasan kepada Kerajaan Singapura, tidak termasuk kos-kos tambahan yang lain.


"Malah, sumber tidak rasmi menyatakan pampasan, kos pembiayaan dan kerugian kepada pihak tempatan yang terlibat bakal mencecah RM 700 juta, menjadikan kerugian keseluruhan lebih daripada RM 1 bilion.


"Tatkala banyak sektor gulung tikar, peluang pekerjaan terhad, pertumbuhan ekonomi bergerak perlahan; kini rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban kerugian begitu besar sedangkan wang rakyat sebanyak itu boleh disalurkan untuk menjana ekonomi dan mampu memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19 .


"Sebagai perbandingan, RM 310 juta pampasan yang dibayar kepada Singapura antaranya boleh djadikan sumbangan kepada 150,000 orang mahasiswa dan pelajar daripada keluarga yang memerlukan komputer riba untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian.


"Manakala, pampasan kepada pihak tempatan sebanyak RM700 juta lebih bermakna jika dibelanjakan untuk pembangunan usahawan-usahawan muda serta peniaga-peniaga kecil," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, pembatalan projek berkenaan juga menunjukkan janji kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipegang sama sekali.


Hal itu kerana, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz sebelum ini dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen telah berjanji untuk meneruskan projek berkenaan, yang menggambarkan kecelaruan, kelemahan dan tidak kompetennya kerajaan PN.


Sehubungan itu, Akmal menuntut kerajaan berlaku jujur dan telus memberikan penjelasan lanjut terhadap keputusan dan akibat pembatalan projek berkenaan.


"Kerajaan PN perlu menjelaskan kerugian sebenar yang perlu ditanggung oleh negara termasuk jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan serta segala pampasan


"Kerajaan juga diminta mengesahkan kebenaran maklumat projek HSR akan diganti dengan Projek MHSR dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan kos anggaran sekitar RM 63 bilion hingga RM 65 bilion yang tidak terlalu jauh dengan kos projek HSR, sedangkan projek landasan berkembar elektrik (ETS) dalam pembinaan," katanya lagi.


Selain itu, Akmal turut menuntut dijelaskan status semasa projek ETS Gemas – Johor Bahru yang sepatutnya siap pada tahun 2022 agar rakyat mengetahui kos sebenar yang terpaksa ditanggung oleh negara.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio