Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan dengan sinis tindakan kerajaan membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).
Beliau berkata pembatalan tersebut akan menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan yang lebih besar daripada dijangka.
"Agak-agaknya berapa jalan berlubang boleh ditampal, berapa peluang pekerjaan boleh diwujudkan dan berapa mangsa banjir boleh dibantu dengan duit itu," katanya.
Saifuddin mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) sengaja berbuat demikian kerana enggan menjalankan proses tender terbuka dengan Singapura.
"Dalil pertama yang diberikan Kerajaan PN adalah sebab Malaysia tidak mampu akibat Covid-19.
"Lalu Menteri Pengangkutan Singapura jelaskan bahawa antara sebab utama adalah kerana Kerajaan PN ingin menghapuskan proses tender terbuka secara bersama dengan Singapura," katanya.
Padahal, Saifuddin menganggap tender terbuka jauh lebih baik berbanding dilakukan secara rundingan terus.
"Secara umumnya proses tender terbuka dijalankan bagi memilih syarikat yang paling kompeten sambil menawarkan kos yang paling berpatutan.
"Proses tender terbuka yang telus dan dipantau bersama mampu mengurangkan kos serta pertikaian di samping memastikan kejayaan usahasama," katanya.
Comments