Pak Natsir tokoh besar Islam Indonesia, berjuang melawan de-Islamisasi - Anwar



Kehebatan tokoh Islam Indonesia, Dr Mohammad Natsir atau Pak Natsir tidak perlu dikisahkan lagi sejak zaman penjajahan Belanda, menjadi Perdana Menteri Indonesia, sehinggalah era Order Baru Presiden Suharto.


Membicarakan ketokohan Pak Natsir, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jasa terbesar Natsir adalah mempertahankan kemurnian Islam dari segi akidah dan berusaha mematahkan gerakan de-Islamisasi di Indonesia.


"Di seluruh dunia Islam ada perdebatan Islam dan sekularisme ketika itu. Di Mesir, di Pakistan ada pertembungan dan pembenturan idea untuk mengekalkan kemurnian Islam


"Pak Natsir terus mempertahan Islam. Pernah Mohd Yamin seorang pendidik yang dihormati, tetapi Pak Natsir yang pertama membantah pendekatan Yamin yang hanya membesarkan dan menunjukkan kehebatan di zaman silam Indonesia, sebelum Islam.


"Perdebatan bendera merah putih (Sang Saka). Kalau Yamin dikatakan ini hasil sejarah dahulu, Natsir katakan melihat bendera Syarikat Islam, sudah ada mirip dengan bendera Indonesia.


"Saya nak tunjuk bukan soal bendera tetapi kegigihan Natsir mempertahankan kemurnian Islam dari segi akidah dan keyakinan, juga dari pengaruh sejarah, kerana ada usaha aktif untuk proses de-Islamisasi (melemahkan Islam).


"Kalau kita lihat seluruhnya Pak Natsir sangat prihatin tentang sekularisme ekstrim juga de-Islamisasi untuk memadamkan pengaruh Islam yang menjadi masalah di kebanyakan negara Islam," katanya dalam Seminar Antarabangsa, "Pemikiran Dr Mohammad Natsir: Memperkukuh Idealisme Perjuangan", pagi tadi.


Dalam pembicaraan itu juga Anwar yang juga Pengerusi Emeritus Institut Pemikiran Islam Antarabangsa menyingkap hubungan awal beliau bersama Pak Natsir sehinggalah beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, yang mana Pak Natsir tetap bersahabat dan disifatkannya seumpama seorang ayah.


Anwar tidak lupa bagaimana beliau terpaksa memaklumkan kepada Presiden Suharto apabila menerima Pak Natsir berkunjung ke hotelnya pada Subuh hari dan sarapan bersama.


Sedangkan ketika itu, katanya, Pak Natsir terlibat dalam mengepalai 50 tokoh politik, akademik dan ulama Indonesia, pada Mei 1980, membantah arahan Suharto yang mahu angkatan tentera Indonesia (ABRI) menyokong penuh parti Golkar dalam pilihan raya umum dan dianggap melanggar Pancasila (Perlembagaan Indonesia).


"Bila saya jadi menteri, Pak Natsir itu belum sempat saya ke rumah dia. Waktu itu selepas Petisi 50, pagi-pagi selepas subuh dia datang ke lobi hotel.


"Saya turun dan bawa dia ke bilik hotel berbincang. Pak Natsir begitu prihatin dan tahu sensitiviti. Langsung tidak bicara soal Indonesia, dia bicara soal Malaysia, perkembangan di Timur Tengah, Palestin dan lain-lain. Selepas 3 - 4 kali saya tanya dan dia mengelak, baru saya tahu dia tidak mahu persulitkan kedudukan saya yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan.


"Kebetulan petangnya saya bertemu Suharto saya kata, Pak mohon maaf kerana Pak Natsir itu seperti ayah saya sejak saya mahasiswa lagi. Jadi sekarang saya menteri tetapi tak bisa ketemu beliau. Saya mohon maaf jika ada melanggar protokol," katanya.


Bagaimanapun, Anwar sedih menghadapi detik nazak Pak Natsir, beliau yang ketika itu telah menjadi wakil Perdana Menteri Malaysia, namun tidak ada pegawai protokol yang berani mengiringinya untuk bertemu Pak Natsir di hospital kerana hubungan dingin tokoh itu dengan rejim Suharto.


Anwar menyifatkan Pak Natsir sebagai tokoh besar politik Indonesia. Beliau juga tokoh pemikir masyarakat yang melihat sejarah perlu ditulis semula dari kacamata pribumi dan bukannya dari tanggapan Barat semata-mata.


Aliran pemikiran seperti itu, kata Anwar, kemudian muncul di Malaysia dan dipelopori karya-karya Hussein al Attas dan Dr Syed Mohd Naquib al Attas.


"10 tahun selepas itu datang tesis penting oleh Naquib al Attas. Islam dalam sejarah kebudayaan Melayu yang menyebut di antara lain teori Henri Pirenne dan kupasan lebih panjang untuk menentukan sejarah dan kebudayaan Melayu dengan kehadiran Islam.


"Perubahan Islam telah merobah rupa dan jiwa. Dan ini lama sebelum period penjajahan Belanda dan Inggeris. Ini satu kupasan yang pendek oleh Pak Natsir. Itu mempengaruhi sejarah pemikiran serantau walau (tidak banyak) sarjana mengupas pemikiran beliau.


"Penghujahan awal beliau sebagai tokoh intelek masyarakat itu mengasak pemikiran baharu," katanya lagi.


Seminar Antarabangsa Pemikiran Dr Mohammad Natsir itu turut dibicarai oleh panel Presiden Wadah Azam Abdul Rahman, Ketua Umum Parti Bulan Bintang juga Mantan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Indonesia Dr. Yusril Ihza Mahendra, Wakil Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia Dr Mohammad Noer, Pengarah Pusat Islam Universiti Selangor Dr Ahmad Zaki Abdul Latiff dan juga Ibu Aisyah Natsir, anak kepada Dr Mohammad Natsir.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER