top of page

Negara kaya sorok stok vaksin Covid 19, Malaysia perlu bersuara - Hassan Karim

Updated: May 19, 2021


Kegagalan Malaysia mendapatkan bekalan vaksin mencukupi untuk menyuntik rakyat dalam kempen vaksinasi Covid 19 yang sedang berjalan seharusnya menjadikan negara ini vokal memperjuangkan hak untuk mendapatkan vaksin.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, fakta yang didedahkan oleh Pengarah UNICEF, Henrietta Fore baru-baru ini wajar menjadi titik mula bagi Malaysia menjadi jurucakap kepada negara-negara membangun atau miskin dalam isu pemerolehan vaksin.


"Tujuh negara terkaya di dunia, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun memonopoli dan menyorokkan stok vaksin yang telah dihasilkan. World Health Organization (WHO) perlu bertindak dalam hal ini demi keselamatan umat manusia.


"Hampir kesemua tujuh negara terkaya di dunia itu, punya rekod sebagai kuasa kolonial yang menjajah negara-negara miskin di Asia, Afrika dan Latin Amerika.


"Sampai sekarang walaupun telah merdeka, kebanyakan negara bekas tanah jajahan masih mundur dan miskin setelah kekayaan negara mereka dipunggah ke negara-negara terkaya di dunia itu.


"Fenomena ini tidak adil. Malaysia sendiri sampai sekarang tidak mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk rakyatnya. Menurut UNICEF, 7 negara terkaya itu berupaya, kalau mereka jujur dan bertimbangrasa, untuk menyumbang lebih daripada 150 juta dos vaksin kepada negara-negara yang amat memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Hassan lagi, kes Malaysia mungkin unik kerana negara ini mampu membelanjakan wang untuk membeli vaksin tetapi bekalan tidak diperolehi.


Katanya, Malaysia tidak meminta vaksin secara percuma namun mengapakah stok vaksin disorokkan?


"Amerika Syarikat yang kononnya juara demokrasi dan kebebasan didakwa menyorok berjuta-juta vaksin jenama AstraZeneca. Menurut UNICEF lagi, Amerika Syarikat mampu menderma 60 juta dos vaksin AstraZeneca itu, kalau ia mahu berbuat demikian. Itu tidak akan menjejaskan program vaksinasi untuk rakyatnya sendiri.


"Tetapi, Amerika Syarikat hanya akan berbuat demikian jika ia dapat memenuhi strategi geopolitiknya yang bersikap penjajah itu," kata Hassan.


Oleh itu, menurut Hassan, Malaysia sebuah negara berdaulat yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bersuara di pentas antarabangsa.


Setakat ini, berdasarkan laporan kira-kira 44% daripada 1.4 bilion dos vaksin Covid-19 yang telah disuntik di seluruh dunia adalah di kalangan penduduk di negara-negara kaya.


Sedangkan, penduduk di negara kaya hanyalah 16% daripada penduduk dunia.


"Ini statstik dari UNICEF. Namun adakah ini adil? Rakyat Malaysia masih berada di fasa pertama program vaksinasi. Berjuta-juta orang, tua dan muda masih menunggu-nunggu.


"Dunia ini tidak adil. Hanya 0.3 % rakyat di 29 negara termiskin di dunia yang didiami oleh 9% penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin. Tak sampai pun 1%," katanya.


Sehubungan itu, Malaysia perlu bersuara di peringkat dunia, biar pun keadaan negara ini lebih baik berbanding 29 negara dunia yang mundur dan tidak mendapat vaksin.


Kerajaan Malaysia, tegas Hassan, boleh menyuarakan pandangan pada Jun depan apabila 7 negara kaya dunia akan bermesyuarat di Sidang Puncak di United Kingdom.


Katanya, dasar Apartheid 7 negara terkaya di dunia itu perlu ditelanjangi.


"Jika Malaysia menjadi juara menentang dasar Apartheid di Afirika Selatan lebih 50 tahun lalu, kini kita menutut Kerajaan Malaysia bersuara lantang di pentas antarabangsa dalam soal keadilan mendapatkan bekalan vaksin untuk penduduk dunia.


"Bersenyap-senyap diri, bukanlah suatu pilihan," katanya lagi.



0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page