Negara berhutang RM1.2 trilion, mana kesannya kepada rakyat? - Anwar


Perbelanjaan untuk menangani Covid 19 memaksa negara berhutang dalam jumlah yang menggunung tinggi namun kesannya kepada rakyat hampir tidak kelihatan.


Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan ke manakah wang yang dipinjam tersebut digunakan oleh kerajaan kerana rakyat terpaksa menggemis hanya untuk mendapatkan makanan.


"Kerajaan terpaksa pinjam untuk belanja tetapi mana kesannya? Hospital teruk, penambahan staf tidak seperti dijanjikan. Vaksin walaupun ada peningkatan tetapi begitu lambat dan akhirnya jumlah pesakit amat banyak.


"Kedudukan kewangan negara ini lebih parah berbanding sedekad lalu. Saya menyatakan hutang kita sekarang mencecah RM1.2 trilion. Saya tidak katakan hal ini (hutang) bermasalah kalau dibelanjakan terus kepada rakyat.


"Tetapi rakyat menggemis merata. Nasib baik kita ada ribuan NGO, jentera parti politik, ahli majlis yang bertungkus lumus bekerja. Setiap hari kita lihat rakyat bangkit menjaga (sesama mereka) tetapi jentera kerajaan malap sekali.


"Oleh itu saya tekankan soal hutang, kerana hutang bertambah tetapi kesan kepada rakyat dan peningkatan kegiatan ekonomi masih tidak menentu. Umpamanya kita lihat memo yang dikemukakan oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana baru-baru ini.


"Kalau dibiarkan terus malap, satu juta orang akan menganggur," katanya dalam siaran media di Facebook, malam tadi.


Pengerusi Pakatan Harapan itu jelas tidak berpuas hati dengan peningkatan jumlah kes positif Covid semalam, yang mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 11,079 kes sehari.


Katanya, peningkatan tersebut bukan sahaja kerana kelewatan pemberian vaksin tetapi juga kerana pendekatan yang salah diambil dalam mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega.


"Angka peratus kematian berdasarkan 1 juta orang di Malaysia mencatat angka tertinggi, 2.92%. Angka ini mengatasi banyak negara di dunia.


"Kemudian kita kemukanan cara penyelesaian PPV mega, hebat. Tetapi sekarang 204 petugas di PPV IDCC Shah Alam positif Covid. Kesannya kepada ratusan (rakyat) yang beratur berdamping dengan mereka, perlu dilakukan ujian (saringan Covid).


"Berbanding dengan cadangan kita buat suntikan di klinik doktor kecil di daerah-daerah. Inilah kesan bila manusia itu angkuh dan berdegil. Saya paparkan angka dan ini menunjukkan kenyataan berbeza dengan ucapan pemimpin.


"Keadaan terkawal, berjalan dengan baik, kita negara yang berjaya. Ini kenyataan hambar yang tidak ada keprihatinan akan rasa kesusahan rakyat," katanya.


Anwar turut mengkritik keadaan di beberapa hospital yang membayangkan sistem kesihatan Malaysia hampir runtuh serta para doktor kontrak yang masih tidak disahkan jawatan sehingga mengurangkan motivasi mereka untuk bekerja.


"Kita tengok kesesakan hospital Kelang. Kalau kita lihat yang dipaparkan, kesusahannya (letak pesakit) sampai ke ruang luar. Ini tekanan kepada barisan hadapan. Masalah berbangkit bagi doktor bertugas pula belum dapat pengesahan jawatan. Saya tidak faham sama sekali kecuaian dan tidak bertanggungawabnya pemimpin kerajaan hari ini.


"Kita lihat (pusat) penilaian Covid 19 di Stadium Melawati. Jumlah pesakit cecah 3,000, beratur berjam-jam. Masalah tak dapat kita kawal," katanya.


Ahli Parlimen Port Dickson itu juga turut membidas kerajaan PN yang tidak sedar diri, di tengah-tengah kegagalan menangani Covid 19 tetapi kekal mahu mencatur politik.


Katanya, perubahan politik sepatutnya untuk kebaikan rakyat tetapi PN pula bergelut untuk menempatkan individu dari parti tertentu merebut kuasa tertinggi, yang mengkesamping isu utama penderitaan rakyat.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER