Memorandum kerjasama (MoU) antara Kerajaan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lalu bukanlah perkara asing dalam amalan sistem politik demokrasi.
Bagi pakar undang-undang Perlembagan, Dr Aziz Bari, hanya di Malaysia yang politiknya agak primitif rakyat menganggap MoU seolah-olah ada pihak yang menang dan pihak lain pula telah 'dibeli'.
Sebaliknya, kata beliau di seluruh dunia MoU atau Perjanjian Kepercayaan dan Perbelakan (CSA) menjadi satu elemen yang agak biasa dalam sistem demokrasi berparlimen.
"Kalau kita imbas kembali telah dilakukan di United Kingdom pada 2017, sewaktu Perdana Menteri Theresa Mary May gagal mendapat majoriti 2/3 di House of Commons dalam pungutan suara ekoran Brexit (maka dilakukan CSA).
"Di Perak juga telah pun berlaku perkara seperti itu tahun lepas. Apabila Menteri Besar (MB) dijatuhkan melalui undi tidak percaya dan kita telah membuat CSA (dengan kerajaan MB baru). Jadi yang ada sekarang ini, MoU ada sedikit berbeza (berbanding CSA).
"Cuma saya katakan benda ini (MoU) bukan satu benda yang kekal. Macam kereta, kalau tayar sudah meletup kita pakai tayar ganti, pakai sekejap kita bawa sampai ke bengkel, ambil tayar baru.
"Kenapa diadakan MoU? Kerana kerajaan yang ada tidak kukuh. Jadi untuk mendapatkan sesuatu kestabilan atau talian hayat atau sedikit oksigen supaya tidak tercungap-cungap (maka dilakukan MoU)," katanya dalam forum maya BBTV bertajuk: "Politik Dan Implikasi MOU 2021?", malam tadi.
Tegas Ketua Pembangkang DUN Perak itu, MoU bukan bermakna terbentuknya kerajaan campuran sebagaimana disalah anggap oleh sesetengah pihak.
Menurutnya, PH kekal pembangkang dan beliau juga setuju dengan gesaan supremo DAP Lim Kit Siang baru-baru ini yang mahu Warisan dan Pejuang juga turut sama menandatangani MoU tersebut.
Bagaimanapun, Aziz tidak bersetuju MoU dianggap seketat perjanjian. Katanya, mungkin ada sedikit penyesuaian dalam pelaksanaan.
Namun beliau memberi amaran, biar pun longgar tiada pihak yang boleh melanggar terma-terma yang telah dipersetujui kerana akan memberi impak negatif kepada imej parti politik yang berbuat demikian.
"MoU bukan perjanjian. Tetapi tidak bermakna kita suka hati langgar. Kita sebagai orang politik tentu mahu ada integriti. Saya mengatakan bahawa tidak seketat perjanjian. Namun kalau ada orang secara sepihak melanggar MoU, pihak yang satu lagi ada hak menghukum untuk tarik diri.
"Dalam kata lain klausa itu beri kita satu amaran, kalau ada pengubahsuaian atau perkara yang terpaksa kita lakukan oleh kerana berlaku sesuatu di luar jangka maka kita bincang balik. Ini dokumen yang agak longar tetapi tidak sehingga orang boleh langgar," katanya.
Menurut ADUN Tebing Tinggi itu lagi, MoU akan memudahkan kerajaan PN meluluskan Belanjawan 2022 dengan cara merundingkan terlebih dahulu butiran Belanjawan bersama PH.
Ditanya mengenai harapan selepas kerjasama dibuat, Dr Aziz mengharapkan selepas ini Parlimen akan jadi lebih berwibawa, peruntukan lebih adil diagihkan antara wakil kerajaan dan pembangkang serta beberapa Rang Undang-undang yang selama ini diperjuangkan PH dapat diluluskan dengan mudah.
"Saya melihat apa terkandung dalam MoU ini bukan perkara baru. Kalau isu lompat parti, sudah dibuat di Kelantan dan Pulau Pinang. Jadi sekarang dimasukkan dalam MoU. Ini telah diperjuangkan PH lama.
"Begitu juga kedudukan pejabat Ketua Pembangkang. Kita telah buat di Selangor sejak 2 penggal lepas. Penambahbaikan ini telah dibuat di negeri yang kita perintah. Cuma sekarang kita mahu lebih tegas di Persekutuan. Oleh kerana kerajaan ini 'telur di hujung tanduk' maka dia terpaksa terima.
"Selain itu, komposisi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seeloknya seimbang. Bukan dilebihkan penyokong kerajaan, nanti semua nak bagi PM gembira dan tak mahu malukan kerajaan.
"Pengerusi PAC mesti dari pembangkang. Kalau dari kerajaan tak guna. Ini bukan benda baru di tempat lain. Kita yang agak primitif dan tertinggal," katanya lagi.
Comments