
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan Agensi Promosi Ekonomi Digital (DEPA) yang dimeterai semalam bakal menjadi batu loncatan kepada lebih banyak syarikat teknologi tempatan menembusi pasaran Thailand.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan MDEC berkata, kementeriannya menyambut baik MoU itu dan beliau berbesar hati dengan kerjasama strategik yang akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
"Kami di KKD menerusi MDEC, telah mengenal pasti peluang untuk mempromosikan syarikat-syarikat Malaysia melalui intervensi secara langsung dengan memberikan tumpuan menyeluruh di dalam usaha eksport dan sokongan ekosistem di Thailand.
"Syarikat-Syarikat tersebut berpotensi untuk pergi lebih jauh sebagai juara serantau demi melahirkan lebih banyak jenama Malaysia sebagai ‘unicorn’ dan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab digital pilihan utama di Asia Tenggara," katanya.
Difahamkan melalui MoU ini, MDEC, agensi peneraju ekonomi digital bawah selaiaan KKD akan menjalin kerjasama dalam meningkatkan lagi usaha antara agensi serta syarikat teknologi tempatan bersama agensi pelaburan Thailand dan DEPA.
Ia dalam meneroka peluang kerjasama perniagaan, menjana idea selain mempromosi produk buatan Malaysia dengan sokongan serta strategi oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand Prayuth Chan o-cha menghadiri majlis memeterai memorandum tersebut.
Kedua-dua mereka turut menyaksikan pertukaran tiga lagi MoU antara syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya iaitu TNB Renewables Sdn Bhd dan TNB Power Generation Sdn Bhd dengan agensi serta syarikat tenaga di Thailand iaitu Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT), Planet Utility Co Ltd (Planet Utility) dan B. Grimm Power Public Co Ltd (B.Grimm) bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga.
Comments